Kuala Lumpur : “Anak saya sebenarnya sudah dibuli sejak tahun lalu lagi, tetapi tidak membabitkan sentuhan fizikal. Ketika itu saya sudah meminta guru kelas menyelesaikan isu itu, namun kali ini bertukar ke tahap sehingga mendatangkan kecederaan teruk kepada anak saya,” kata pelakon, Ako Mustapha yang mendakwa anak lelakinya, Mika, 10, menjadi mangsa buli di sekolah, semalam.

Ako berkata, sebelum ini, mereka hanya merosakkan barangan Mika saja, tetapi tahun ini dia mula perasan perubahan anaknya yang seperti tidak suka ke sekolah.

“Semalam, selepas anak pulang ke rumah dan selesai mandi baru dia beritahu kena pijak, rambut digunting dan ada kesan tapak kasut selain badan berbirat dipukul rakan sekolahnya.

“Saya kemudian terus membawa anak ke klinik kesihatan di Setapak sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan ditahan wad untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Ako, anaknya juga perlu menjalani pemeriksaan x-ray kerana bimbang ada kecederaan dalaman atau patah.

“Saya dimaklumkan oleh anak kejadian berlaku ketika waktu rehat di dalam kelas apabila dia ditolak sehingga terlentang sebelum dipijak dan dipukul.

“Saya juga sudah membuat laporan polis dan pegawai penyiasat juga sedang menunggu laporan perubatan anak saya,” katanya.

Katanya, guru kelas anaknya juga banyak membantu menguruskan kes anaknya selepas dimaklumkan semalam.

Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan anak Ako yang didakwa menjadi mangsa buli di sekolahnya di Wangsa Maju, di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu.

“Siasatan berhubung kejadian itu masih berjalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi hantaran dimuat naik di Threads, Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, memaklumkan kejadian itu membabitkan lima murid iaitu dua murid senior dan tiga rakan sekelas.

Menurut Ako, kejadian yang menimpa anaknya itu hanya disedari selepas Mika pulang dari sekolah dan selesai mandi.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *