KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 1980-an, Datuk ND Lala, menegaskan kasih sayangnya terhadap anak-anak tidak pernah berbelah bahagi, walaupun melalui episod perpisahan dalam rumah tangga.
Penyanyi berusia 65 tahun itu berkata, hubungannya dengan keempat-empat anak tetap utuh dan tidak terjejas dengan apa yang berlaku dalam kehidupan peribadinya.
“Apapun yang berlaku dalam kehidupan saya, ia tidak akan menjejaskan hubungan dengan anak-anak.
“Mereka adalah DNA saya dan perkara itu tidak akan berubah. Alhamdulillah, mereka semua adalah anak saya dan akan kekal selamanya.
“Mereka lahir daripada kasih sayang saya dan menjadi sebahagian daripada diri saya,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran buku Sentuhan Emas Lagu-Lagu Tan Sri Dr. Ahmad Nawab di Saloma Kuala Lumpur, hari ini.
ND Lala yang dikenali menerusi lagu Diari YB turut menegaskan, setiap ibu bapa pasti menyayangi anak tanpa syarat dan beliau tidak pernah putus mendoakan kesejahteraan mereka.
“Mana-mana ibu bapa akan menyayangi anak tanpa sebarang syarat dan saya sentiasa mendoakan mereka hingga akhir hayat,” katanya lagi.
Bagaimanapun, ND Lala enggan mengulas lanjut mengenai hal peribadi, khususnya berkaitan hubungan dengan anak-anak, bagi mengelakkan sebarang salah faham.
Katanya, beliau kini lebih selesa memberi tumpuan kepada kerjaya seni berbanding membicarakan isu peribadi yang boleh mengundang spekulasi.
“Saya tidak mahu lagi memberi kenyataan mengenai isu itu kerana lebih selesa berkongsi hal kerjaya.
“Saya memilih untuk tidak memberi respons supaya tidak menyinggung atau melukakan mana-mana pihak. Jika ada yang mahu mentafsir, itu hak masing-masing.
“Segala penjelasan berkaitan hal peribadi sudah saya nyatakan dalam kenyataan pada 2023,” katanya.
ND Lala pernah mendirikan rumah tangga dengan Fauziah Sarman pada 1989 sebelum berpisah pada 2 Ogos 2023.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu penyanyi Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Syada.
Fauziah kemudian dilaporkan berkahwin dengan Brigedier Jeneral Zainal Abidin Muhammad Salleh pada 22 Novembe