SOAL kewangan, ketakutan, kerisauan dan kebimbangan menjadi cabaran utama penyanyi, Nourul Depp apabila mengambil alih penganjuran Konsert ‘For You Nourul’ di bawah syarikatnya, ND Entetainment.

Nourul atau nama sebenarnya, Noorulhuda Abdul Wahab, 49, berkata, perkara berkenaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana mempelajari bidang psikologi, selain banyak dibantu suami, Eric Daniel Depp bagi mengatasi permasalahan dihadapinya.

“Sebab waktu itu sudah keluar cerita pasal nak buat konsert dan sebagainya. Dia (suami) kata nama saya sudah guna, jadi terpulang kepada saya sama ada nak teruskan atau sebaliknya.

“Saya kata macam mana saya nak jalan? Tapi, ‘team’ kami itu penting untuk kami, sahabat kami, siapa sekeliling kami yang percaya dengan kami.

“Pertama itu, peminat yang percaya sebab bila kami kata nak buat konsert, mereka awal-awal sudah beli tiket dan hasilnya beberapa ratus tiket sudah jual,” katanya.

Menurutnya, walaupun konsert ini dibuka untuk 1,000 peminat sahaja, dia perlu meneruskannya dan ia adalah satu cabaran untuk membuat keputusan fasa pertama.

“Fasa kedua adalah saya perlu mengetuk pintu penaja, cari idea dan macam-macam. Perkara ini saya suka sebab cabaran yang mengajar kita.

“Suami minta saya jangan stres kalau saya nak buat. Dia bagi syarat bahawa saya boleh buat konsert, tapi dia tak nak saya stres. Dia minta saya ‘enjoy the process’.

“Proses untuk belajar, untuk menjadi yang bagaimana. Alhamdulillah… Tuhan itu sentiasa buka jalan. Saya ‘approach’ kawan-kawan saya dulu untuk penaja. Yang mana saya tahu, yang mana tak jadi kawan pun saya tanya juga,” katanya.

Menerusi kegigihannya, Nourul yang popular dengan lagu Kerana Terluka memperoleh beberapa penaja besar yang bersedia memberikan kerjasama.

“Alhamdulillah… saya sangat bersyukur. Tak banyak, tapi sikit-sikit itu tetap membantu. Bukan kata saya kaya sangat, tapi Alhamdulillah duit hasil bisnes itu membantu.

“Pada masa sama, abang saya pula sakit kanser darah. Saya kata, Ya Allah apa yang nak ditunjukkan ini? Dah tentu soal berkaitan keluarga memang sedikit meruntun jiwa.

“Tapi, hidup perlu diteruskan. Saya bersyukur satu saja, Allah SWT pilih saya untuk uji sebab dia nak ‘up’ standard saya,” katanya lagi.

Konsert ‘For You Nourul’ yang sepatutnya berlangsung pada 17 April lalu, kini dijadualkan berlangsung di ZEPP Kuala Lumpur pada 30 Mei depan.

“Durasi persembahan antara sejam setengah ke dua jam. Saya nak persembahkan apa yang saya sudah ‘plan’ lama. Berbeza dengan orang lain.

“Saya kena tunjuk apa kemampuan saya berdasarkan apa yang saya belajar dengan orang lama, belajar dengan cikgu.

“Saya buat tajuk For You itu ada sebab. Saya nak tunjuk ‘ini untuk peminat dan ini adalah saya’. Apa yang saya boleh buat untuk peminat,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *