Sembilan tahun berkhidmat di Kool FM sejak 2017, Muaz Mohamed sudah terbabit dengan penjenamaan semula nama stesen itu menjadi Buletin FM pada 2021 hingga 2023, kemudian Kool101 dari 2023 sehingga 2025.

Bagaimanapun pada November tahun lalu, ia kembali semula kepada nama Kool FM dan Muaz, 41, bertugas bagi slot pagi dikenali Pagi On Point bersama Datuk Aznil Nawawi dan Haiza dari jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Justeru, berbicara mengenai gaji penyampai radio yang pernah tular dengan dakwaan dibayar tinggi, pemilik nama sebenar Muazanazzuddin Mohamed ini menyifatkan ia tidak betul dan kalau ada pun mungkin bergantung dengan ‘demand’ (permintaan).

“Gaji penyampai radio ini apabila orang kata terlampau mahal, tinggi dan sebagainya, saya rasa tidak betul. Sebab, mereka (penyampai radio) yang bergaji mahal ini mungkin kerana ada permintaan yang tinggi dan juga membawa ‘income’ (pendapatan) kepada stesen radio.

“Saya rasa mereka ini orang hebat dan yang terpilih. Tetapi, tidak semua penyampai radio menerima gaji yang sama dan kebanyakan mereka (penyampai radio) ini gajinya adalah berbeza dan mengikut ‘rating’ masing-masing.

“Termasuk, popularnya seseorang penyampai radio itu terutama di stesen radio swasta. Jadi dakwaan berhubung gaji seorang penyampai radio adalah tinggi, bagi saya tidak adil kalau kita nak tujukan kepada semua.

“Ini kerana, gaji tinggi atau tidak itu dibayar secara berbeza-beza mengikut level (tahap). Satu lagi adalah mengikut stesen (radio). Kalau stesen itu popular, insya-Allah gajinya tinggi. Tapi kalau stesen itu kurang popular dan mungkin tidak banyak frekuensi, ia juga memainkan peranan kepada gaji,” ujarnya.

Ditanya juga mengenai intonasi suara penyampai radio dulu yang dianggap lebih ‘mature’ (matang) dan sedap didengar, Muaz tidak menafikan, namun katanya kini zaman sudah berubah.

“Kalau kita dengar suara penyampai radio dulu, saya tak nafikan suara mereka memang harus sedap. Apatah lagi, lontaran suara itu memainkan peranan yang penting. Tetapi zaman dah berubah sekarang.

“Kini mungkin suara yang sedap itu lebih kepada universal kerana ada pendengar suka suara halus, ada juga suka suara yang lemak dan ada orang suka suara macam kartun. Namun, paling penting ialah penyampaian harus jelas.

TEKAD salurkan penyampaian lebih jelas untuk pendengar.
TEKAD salurkan penyampaian lebih jelas untuk pendengar.

“Buat masa ini, saya rasa kebanyakan orang nak dengar suara yang ada energi serta tahap keyakinan tinggi berbanding kalau dulu suaranya sedap, mendayu-dayu tetapi jika tiada energi serta input maklumat, memang semuanya sudah berubah.

“Ditambah seiring dengan pengaruh teknologi sekarang, untuk menarik perhatian pendengar, kredibiliti sangat penting. Sebab dengan teknologi yang ada ketika ini kalau kita tidak ikut, kita akan ketinggalan. Itu sahaja,” katanya.

Jelas Muaz, sekiranya kita menolak kepada pengaruh teknologi, maka orang pun akan ingat penyampai radio itu sudah tidak relevan. Jelasnya, jadi dia berasakan apa sahaja teknologi yang ada kini perlu mencuba beradaptasi.

“Ini kerana, saya percaya bukan hanya generasi pendengar dulu yang mengenali kita (penyampai radio), namun generasi akan datang dan juga generasi terkini pun mereka tahu dan suka dengar penyampaian kita.

“Senang sahaja untuk generasi sekarang apabila mereka suka dengan kemudahan digital ini. Kalau dia (pendengar masa kini) nampak kita terarah kepada digital, suka pada ‘content’ yang dibuat, itu tidak mustahil untuk mereka jatuh cinta mendengar,” katanya.

Menyentuh idolanya dalam karier penyampai radio dan pengacara, Muaz mengakui sangat kagum dengan Aznil atau Pak Nil, 64, yang disifatkannya sudah berjaya bertahan melalui semua era yang ada hingga kini.

“Apapun, saya bersyukur mempunyai sikap suka mencabar diri sendiri dan tidak pernah berasa puas sampai setakat itu. Saya suka mencari sesuatu yang baru, sebab cara pendengar kita dengar radio sekarang berbeza.

“Mereka (pendengar) semakin bijak dengan maklumat diberikan. Apapun, yang pasti bidang penyiaran radio ini untuk saya memang masih lagi relevan, insya-Allah pada tahun-tahun mendatang.

“Walaupun kita dah ada pelbagai saingan daripada platform muzik digital seperti Spotify dan sebagainya, namun saya yakin selagi ada kesesakan lalu lintas, selagi itulah radio sangat penting untuk pendengar,” katanya.

Muaz berkata, sebab orang kalau di dalam kereta bila hanya dengar muzik sahaja, mereka akan bosan. Ujarnya, mereka pasti nak ada rasa berteman, jadi penyampai radio akan menjadi seorang sahabat untuk menemani perjalanan itu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *