SINGLE Toksik yang mempertemukan penyanyi Khai Bahar dan bakat baharu, Yulia Kamelia melahirkan magis tersendiri apabila membawa pendengar melihat dimensi berbeza pada karya berkenaan.

Diterbitkan Sony Music Entertainment Malaysia, lagu berentak balada pop itu mempertemukan dua penyanyi memiliki vokal yang memukau, sekali gus mengangkat kisah tersendiri.

Bagi Khai, persetujuannya untuk berduet bersama Yulia bukan sekadar memenuhi permintaan produksi, sebaliknya memikirkan tanggungjawab untuk membantu dan memberi peluang kepada bakat baharu.

“Saya bersetuju kerana dahulu saya juga pernah berada di posisi ‘orang baharu’. Saya pernah diberi peluang oleh penyanyi yang lebih berpengalaman untuk berduet. Jadi, saya faham bagaimana besarnya makna peluang itu.

“Saya tidak mahu mengatakan diri saya hebat, tetapi sepanjang berada dalam industri ini, saya sudah bekerjasama dengan ramai penyanyi.

“Apabila melihat potensi pada Yulia dengan vokalnya bagus, penampilan menarik dan sikapnya juga baik, saya fikir tiada sebab untuk menolak,” katanya pada sidang media memperkenalkan single berkenaan, baru-baru ini.

Khai atau nama sebenar, Muhammad Khairul Baharudi, 32, mengakui dia perlu mengambil peluang untuk terus mengembangkan karier.

“Bagi saya, ini peluang untuk dia dan juga untuk saya. Tambahan pula lagu ini adalah runut bunyi untuk drama Astro. Siapa yang tidak mahu peluang seperti itu?

“Walau sekecil atau sebesar mana pun peluang yang datang, kita perlu ambil. Daripada seribu peluang, kalau dapat dua atau tiga pun sudah memadai. Saya memang tidak akan melepaskan peluang yang baik,” katanya.

Mengulas keserasian vokal mereka, Khai yang popular dengan lagu Bayang dan Luluh menyifatkan gabungan suara itu terhasil secara semula jadi.

“Suara Yulia ada kelembutan, apabila digabung dengan tona suara saya. Kami dapat satu keseimbangan semula jadi. Tidak bertindih, tidak juga bersaing, sebaliknya saling melengkapi.

“Lagu ini menggambarkan hubungan dua jiwa saling mencintai, namun, cara mencintai itu sendiri menjadi punca luka. Bukan kerana benci, tetapi kerana cinta yang terlalu kuat sehingga memudaratkan diri sendiri.

“Bagi saya, hubungan toksik adalah apabila dua orang saling menyayangi, tapi cara mereka mencintai itu menyakitkan. Kadang-kadang bukan salah sesiapa, cuma sudah tidak sehaluan,” katanya.

Sementara itu, Yulia atau nama penuh, Yulia Kamelia Kasim, 25, mengakui peluang berduet bersama penyanyi berpengalaman seperti Khai adalah rezeki yang tidak disangka-sangka.

“Pada awalnya saya seperti tidak percaya apabila diberi peluang sebegini kerana masih baharu dalam industri muzik.

“Tetapi apabila peluang itu benar-benar diberikan, saya sangat bersyukur dan gembira. Saya juga berterima kasih kepada pihak Sony Music dan Khai kerana sudi berduet dengan saya dan memberikan peluang sebesar ini,” katanya.

Menurut Yulia yang juga artis budaya di Jabatan Penerangan, sikap terbuka Khai memudahkan proses rakaman walaupun dirinya masih hijau dalam industri.

“Khai sangat senang bekerjasama, peramah dan kelakar. Sepanjang bekerja dengannya, saya tidak rasa janggal walaupun kita tahu dia sudah mempunyai nama besar, manakala saya pula masih baharu.

“Kalau saya ada apa-apa soalan atau perkara yang kurang jelas, dia sangat terbuka dan mudah didekati,” katanya.

Toksik adalah hasil sentuhan komposer Farouk Roman yang terkenal dengan melodi sederhana, namun menikam rasa, disulam lirik jujur karya Adrianna Cinta.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *