MELALUI transisi daripada seorang pelakon kepada pengarah nampaknya membuahkan hasil. Terbaharu, karya arahan Tam Suhaimi, Puteri Kelas Atas mencipta fenomena tersendiri.
Siri itu mengukuhkan reputasinya sebagai pengarah apabila meraih sambutan di luar jangkaan, bukan sahaja di Malaysia malah turut mencetus perhatian penonton di Indonesia.
Drama bersiri yang diterbitkan untuk platform OTT itu menjadi bualan ramai sejak tayangannya, termasuk di TikTok yang dipenuhi suntingan peminat yang memaparkan babak kegemaran mereka.
Menariknya, kata Tam, kebanyakan suntingan itu datang daripada penonton Indonesia, sekali gus menunjukkan gelombang sokongan yang semakin meluas.
“Alhamdulillah, penerimaannya sangat positif. Sejujurnya saya sendiri terkejut. Pihak produksi, pihak Viu, dan pelakon pun tidak menyangka karya ini boleh diterima begitu baik, lebih-lebih lagi di Indonesia,” katanya.
Menurutnya, ada penonton yang sudah mula bertanya bila pihak produksi akan mengadakan sesi ramah mesra di negara seberang itu.
Bagi Tam, respons sedemikian sudah cukup membuktikan bahawa karya yang dibuat dengan jujur, tanpa gimik keterlaluan, sentiasa mempunyai tempat di hati khalayak.
“Bagi saya, ini sesuatu yang menyegarkan kerana pada mulanya saya agak gementar sedikit.
“Ini kali pertama saya mengarah untuk platform itu dan barisan pelakon saya pula terdiri daripada pelakon baharu. Jadi saya agak bimbang pada awalnya,” kata Tam.
Namun, kebimbangan itu akhirnya berubah menjadi keyakinan apabila strategi menampilkan wajah baharu dalam karya itu membuahkan hasil.
Katanya, mungkin penonton mahu melihat bakat baharu yang mempunyai keaslian dalam pembawaan watak.
“Mungkin sebenarnya ia satu keberkatan yang terselindung. Strateginya menjadi. Penonton mungkin suka melihat wajah-wajah baharu,” ujarnya.
Tidak berhenti di situ, Tam kini dalam fasa pasca-penerbitan telefilem terbaharu berjudul Fiksi Fantasi, yang bakal ditayangkan menerusi platform televisyen.
Walaupun boleh berkarya bebas di OTT, itu bukan lesen untuk menghasilkan kandungan keterlaluan atau sekadar mengejar sensasi.
“Saya selalu percaya bahawa OTT bukan tiket untuk melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Ada yang beranggapan OTT membolehkan kita mencipta aksi-aksi keterlaluan.
“Tetapi bagi saya, kalau mahu mencipta babak kontroversi, kita perlu tanya, untuk apa? Adakah ia membantu naratif atau sekadar mahu mencetuskan tular?” katanya.
Tam menegaskan, sekiranya sesebuah karya hanya bergantung pada elemen tular untuk dijual kepada penonton, itu tanda pengkarya sendiri tidak mempercayai kekuatan naskhah itu.
Walaupun berkarya di platform yang lebih bebas, Tam mengakui bahawa tanggungjawab kepada penonton lebih-lebih lagi kanak-kanak dan remaja sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap karya yang dihasilkannya.
Dalam Puteri Kelas Atas, misalnya, Tam menolak beberapa cadangan adegan yang dirasakan tidak wajar untuk konteks usia watak dan latar cerita.
“Ceritanya berlaku di sebuah sekolah, jadi tidak wajar memaparkan aksi yang tidak sesuai.
“Ada satu adegan memegang tangan yang saya lepaskan kerana watak itu sudah bertunang dan selain itu saya tidak rasa ia perlu,” katanya.
Baginya, peranan seorang pembikin bukan sekadar mencipta hiburan, tetapi turut bertanggungjawab membentuk persepsi penonton terhadap dunia yang digambarkan di skrin.
“Sebagai pembikin, bila saya mengarah dan menulis, saya sentiasa fikir apa yang saya mahu tunjukkan kepada penonton terutama kanak-kanak.
“Kita tidak mahu mereka menganggap apa yang mereka lihat di skrin sebagai sesuatu yang boleh diikuti bulat-bulat,” katanya.