Kuala Lumpur: Anggota kumpulan Senario, Azlee Jaafar, 58, mengakui kerjaya pelawak semakin suram ketika ini.

Azlee atau nama sebenarnya, Muhammad Azlee Jaafar, berkata, dia berharap pihak produksi dan stesen televisyen memberi lebih ruang kepada pelawak.

“Pernah nampak kami muncul di TV? Dah lama kami tak muncul.

“Mungkin ada segelintir pelawak yang muncul sikit-sikit di TV tapi secara keseluruhannya kami memang sudah lama tidak muncul di TV,” katanya.

Azlee ditemui pada sesi temubual bersama kumpulan Senario sempena konsert mega The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun di sebuah restoran di sini, baru-baru ini.

Hadir sama anggota Senario iaitu Saiful Apek, Yassin Yahya, Pak Ya dan Lan Pet Pet.

Mengulas lanjut, kata Azlee, pelawak boleh diketengahkan menerusi jalan cerita atau skrip yang mempunyai unsur komedi dan sesuai dengan mereka.

“Tidak ada ke cerita yang ada unsur komedi yang boleh panggil kami? Tapi perkara itu bergantung kepada pihak produksi.

“Mereka yang tentukan jalan cerita dan skripnya sama ada sesuai atau tidak untuk pelawak,” katanya.

Bagaimanapun, kata Azlee, rezeki setiap individu berbeza dan percaya masih ada peluang lain di luar industri televisyen.

“Bagi saya, Insya-Allah, banyak lagi rezeki lain. Kalau boleh, produksi di luar sana atau stesen TV pandang-pandanglah pelawak ini kerana kami berbeza dengan yang lain.

“Kerjaya pelawak adalah antara yang paling susah kerana tugas kami untuk menghiburkan orang,” katanya.

Pada masa sama, Azlee juga meminta golongan pelawak agar tidak terlalu bergantung kepada stesen televisyen semata-mata sebaliknya perlu lebih kreatif dalam mencari peluang.

Terdahulu, pelawak Fad Bocey atau Muhammad Fadzlie Mohd Nizam, 34, mengakui dia reda dan menerima hakikat kerjaya pelawak kini semakin suram berbanding suatu masa dahulu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *