Kuala Lumpur: Selepas 22 tahun, pelakon dan penyanyi, Abby Abadi, 49, meluahkan rasa syukur apabila dia akhirnya menerima bayaran mas kahwin yang tertangguh daripada bekas suaminya, Norman Hakim.

Abby atau pemilik nama Arbaiyah Abdul Manan berkongsi perkara itu menerusi hantarannya di Tiktok, semalam.

Abby turut berterima kasih kepada suaminya, Faizal Zakaria serta isteri Norman, iaitu Memey Suhaiza kerana tidak pernah mencampuri urusan yang tertangguh antara dia dan Norman.

“Dengan tenangnya, saya kongsi serba sikit biar semua tahu, yang ini dah selesai setelah 22 tahun ya. Terima kasih suami dan Memey tak pernah campur urusan yang tertangguh ini,” tulisnya di ruangan kapsyen.

“Cuma nak maklum, berkat kesabaran selama 22 tahun ini. Rezeki saya, tetap rezeki saya. Alhamdulillah,” tulisnya.

Dalam hantaran yang sama, Abby merakamkan penghargaan kepada Norman kerana melakukannya dengan rela hati selepas kehidupannya semakin stabil. Bagaimanapun jumlah bayaran berkenaan dirahsiakan.

“Terima kasih Norman sudi bayar apa yang tertunggak setelah berkemampuan. Awak kata tak perlu kongsi..Tapi takpelah, saya suka nak kongsi. Bukan sebab tak habis-habis. Tapi memang tak pernah selesai pun.

“Saya terus menunggu dengan penuh kesabaran. Semoga berkat kesabaran selama 22 tahun ini, dapatlah saya sebuah mahligai bukan hanya dia dunia tapi di syurga sana dan duit belanja besar juga nanti. Amiin,” tulisnya lagi.

Walau bagaimanapun, Abby menjelaskan di ruangan komen bahawa masih terdapat tuntutan lain yang masih belum diselesaikan membabitkan nafkah sepanjang perkahwinan mereka.

“Yang saya tuntut nafkah makan minum tempat tinggal untuk 18 tahun panjang lagi cerita. Ini duit mas kahwin,” tulis Abby di ruangan komen seorang netizen.

Dalam hantaran lain, Abby turut berkongsi dia pernah terfikir untuk menuntut nafkah anak-anak pada tahun 2008, namun hasrat itu terpaksa dilupakan kerana memikirkan bayaran untuk membuka fail tuntutan yang mencecah ribuan ringgit.

Selain itu, Abby mengambil keputusan untuk menuntut nafkah berkenaan semula apabila dia melihat Norman sudah berkemampuan.

“Dipendekkan cerita… kami baik saja dengan mereka (Norman dan Memey) sejak mereka dapat anak pertama lagi (13 tahun dulu). Sesekali keluar bersama, pergi bercuti sama-sama. Taraf hidup lebih kurang saja awal-awal dulu, jadi kalau berjalan ke apa-apa, bayar sendiri-sendiri. Kadang saya belanja, kadang Memey, kadang Oman (Norman)… begitulah ceritanya.

“Masa berlalu, tahu-tahu anak dah besar. Tahu-tahu Norman dan Memey dah berkemampuan lebih dari saya (lebih faham-dah kaya). Dan untuk dia tidak melupakan anak-anak yang dengan saya, saya berbunyilah sebab dia macam tak nampak. Tak semua saya boleh kongsikan..serba sikitlah nak bagi faham,” tulisnya.

Untuk rekod, Abby dan Norman pernah mendirikan rumah tangga pada tahun 2002 namun berpisah pada tahun 2009.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 22, Marissa Dania Hakim, 20 dan Danisha Hakim, 17 tahun.

Selepas itu, Norman berkahwin kali kedua dengan Memey pada 2011, manakala Abby pula mendirikan rumah tangga dengan Faizal pada 2015.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *