Kuala Lumpur : Pelakon, Rashdan Baba, 57, menyifatkan penampilannya yang ‘awet muda’ adalah bonus kerana amalan gaya hidup sihat dan faktor genetik daripada arwah bapa.
Ujar Rashdan, Allahyarham bapanya seorang yang suka mengambil pelbagai ‘supplement’ kesihatan, termasuk sangat menjaga pemakanan harian.
“Saya tahu ramai netizen yang komen puji saya kekal awet muda macam dulu. Terima kasih saya ucapkan pada komen yang baik-baik itu dan syukur Alhamdulillah.
“Cuma, sebenarnya saya memang jaga penampilan diri. Apatah lagi, sekarang pun umur dah ’emas’ dan saya kini berusia 57 tahun. Jadi, memang penting jaga kesihatan, pemakanan dan banyak minum air.
“Tetapi, saya memang ikut cara macam arwah ayah yang ambil ‘supplement’. Dulu, atas meja makan di rumah saya penuh dengan ‘supplement’ pelbagai jenis.
“Macam farmasi pun ada. Namun, mungkin juga sebab faktor genetik. Ini kerana, kalau saya dengan arwah bapa jalan bersama, orang cakap kami dua macam abang dan adik,” katanya kepada Harian Metro.00:0001:00Tonton Non Stop, On Top!×
Penampilan Rashdan menuai pujian daripada netizen selepas hantaran video dia diumumkan antara 10 peserta Kilauan Emas Selebriti yang akan bersiaran secara langsung pada 22 Ogos nanti.
Rashdan berkata, dia bagaimanapun sama sekali tidak menyangka akan dapat banyak komen positif dan baik-baik daripada warga maya terhadap penampilan wajah yang tidak dimamah usia.
“Selain itu, saya juga aktif bersenam dan memastikan minum banyak air suam dalam sehari, kira-kira lapan liter. Malah, kalau minum teh tarik pun, hanya separuh sahaja.
“Biasanya, teh tarik itu akan saya campur dengan air suam serta pengambilan gula juga saya ‘cut’. Sebab, faktor usia meningkat dan serba-serbi kesihatan kena jaga.
“Saya pula sejak masuk umur 40 tahun, sudah jaga pemakanan. Sebagai pelakon ‘senior’, saya sedar kena usaha jaga kesihatan diri untuk terus dapat ‘job’ berlakon,” katanya.
Menyentuh dirinya kini menjadi ‘kesayangan’ netizen di media sosial, Rashdan berkata dia disukai kerana rasa kagum orang pada penampilan yang awet muda.
Harapannya, agar percubaan dalam bidang nyanyian menerusi Kilauan Emas Selebriti akan berjaya dan terus dapat sokongan positif walaupun bukan penyanyi profesional dan sekadar ‘amatur’.