Kuala Lumpur: Band tribute kumpulan legenda, ABBA, Björn Again bakal menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur menerusi Björn Again – The ABBA Forever Tour 2026 pada 12 Ogos depan.

Dua anggotanya, Agnetha Falstart pada sidang media virtual hari ini berkata, mereka menjanjikan persembahan luar biasa dan akan memberikan kepuasan kepada peminat mereka dan ABBA.

“Mereka (peminat) akan pulang dengan senyuman di wajah mereka. Mereka akan melalui pelbagai emosi, pelbagai lagu berbeza, lagu mengenai patah hati, perkahwinan dan kegembiraan seperti Gimme! Gimme! Gimme!.

“Jadi mereka akan keluar dengan sangat gembira, lebih gembira daripada semasa mereka masuk. Itulah apa yang saya harapkan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi anggota Björn Again, Benny Anderwear menjanjikan peminat yang hadir buat pertama kali bakal jatuh cinta dengan lagu-lagu ABBA.

“Acara ini juga akan membuka pintu untuk mereka menjadi peminat sebenar muzik ABBA.

“Kami sudah melihat perkara itu berlaku begitu banyak kali di mana orang berkata ‘Saya bukan peminat ABBA sehinggalah saya datang menonton konsert anda’,” katanya.

Ditanya mengenai lagu-lagu yang akan dipersembahkan, Benny berkata, Björn Again mengambil masa yang panjang untuk memperincikan pemilihan lagu bagi disesuaikan dengan kehendak peminat.

“Kami pasti memainkan semua lagu hits ABBA yang paling terkenal. Kami cuba merangkumkan beberapa lagu yang mungkin kurang terkenal dan lagu hits dari album,” katanya.

Untuk rekod, Björn Again sudah mengadakan persembahan di lebih 120 negara dan kekal sebagai satu-satunya band yang menerima penghormatan rasmi oleh ABBA sendiri.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *