Rawang : Tindakan bekas suami Adira Suhaimi iaitu Datuk Red, 48, untuk menarik kes pengesahan lafaz rujuk yang difailkannya terhadap penyanyi itu ditolak oleh di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang di sini, hari ini.
Semalam, Red menerusi laporan di media memaklumkan pihaknya ingin menarik balik kes pengesahan lafaz rujuk berkenaan berikutan tidak mahu lagi terus memanjangkan cerita sekali gus ‘move on’ membina kehidupan baharu.
Peguam syarie mewakili Red iaitu Muhammad Akmal Amzan berkata permohonan anak guamnya selaku plaintif kes itu ditolak oleh pihak mahkamah kerana Hakim Syarie, Nurul Hidayah Jani mahu mendengar keterangan daripada kedua belah pihak terlebih dahulu.
“Jadi, pada hari ini pihak defendan (Adira) memberi keterangan dan perbicaraan seterusnya untuk kes ini pada 9 Julai depan. Ia kerana, pihak mahkamah ingin meneliti segala keterangan daripada kedua belah pihak (plaintif dan defendan) sebelum membuat keputusan.
“Saya dan anak guam, Red menghormati keputusan mahkamah dan kita sedia menunggu pada perbicaraan kes akan datang nanti. Semoga semuanya dipermudahkan dan lancar,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di sini.
Ujar Muhammad Akmal, tujuan anak guamnya mahu menarik balik kes pengesahan lafaz rujuk itu untuk memudahkan masing-masing menjalani kehidupan baharu pada masa akan datang dan tidak perlu dipanjangkan lagi.
Sementara itu, peguam syarie mewakili Adira iaitu Nor Saidah Zakaria memaklumkan pihaknya menerima notis penarikan balik kes oleh plaintif, Red pada Mei lalu, namun tahu ia perlu mengikut prosedur mahkamah.
“Mengikut apa yang kita sedia maklum tahu, berdasarkan undang-undang di Mahkamah Syariah membabitkan pengesahan lafaz talak dan pengesahan lafaz rujuk itu, memang tertakluk mengikut hukum syarak.
“Jadi, kita kena tunggu sahaja keputusan dari mahkamah sama ada membenarkan (untuk tarik balik kes) atau tidak. Tetapi, pada perbicaraan hari ini mahkamah menolak permohonan penarikan balik kes yang dibuat oleh plaintif (Red),” katanya.
Terdahulu, perbicaraan kes pengesahan lafaz rujuk antara Red dan Adira dibuat secara tertutup dan keterangan penuh oleh pihak plaintif (Red) sudah dilakukan di hadapan Hakim Syarie pada 23 April lalu.
Red difahamkan bertindak memfailkan permohonan pengesahan lafaz rujuk terhadap bekas isterinya, Adira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang di sini pada Disember lalu.
Sebelum ini, Red atau nama sebenar Adnan Abu pernah berkahwin dengan Adira sebagai isteri kedua pada 3 Disember 2015, namun sah bercerai pada 24 April 2024. Mereka dikurniakan empat anak selama sembilan tahun hidup bersama.