Kuala Lumpur: Komposer dan penyanyi Indonesia, Isyana Sarasvati, 33, terus mengingati sahabat baiknya yang juga penyanyi iaitu Allahyarham Vidi Aldiano, 35, yang meninggal dunia akibat kanser buah pinggang pada Mac lalu.
Menurut Isyana yang kini muncul dengan album studio kelima, Eklektiko memaklumkan dia amat gembira dapat merakam lagu Frenemy ciptaannya bersama arwah Vidi pada 2024 sebagai buah tangan kerjasama istimewa mereka.
“Almarhum Vidi itu salah satu sahabat terbaik saya dan berasa sangat bersyukur di dalam album Eklektiko ini begitu ‘personal’ (peribadi) untuk saya apabila ada sentuhan dan rasa daripada seorang Vidi Aldiano.
“Vidi akan selalu saya kenang. Lagu ini (Frenemy) kita ciptakan berdua pada 2024 dan semoga karya ini juga akan abadi selamanya,” katanya pada sidang media di ibu kota, semalam.
Terdahulu, kehadiran Isyana ke Malaysia kali ini sempena pengumuman Konsert Isyana Sarasvati Live In Kuala Lumpur (Asia Tour 2026) yang akan berlangsung di Zepp KL pada 17 Julai depan.
Berbicara lanjut mengenai sisi peribadi arwah sahabatnya, Isyana berkata, Vidi boleh disifatkan sebagai seorang penggiat seni asli yang mempunyai semangat sangat besar untuk terus berkarya.
“Vidi memiliki semangat sangat besar, jadi dia tidak pernah memperlihatkan kondisi kesihatan dirinya yang sebenar ketika menahan kesakitan. Tetapi, kita selalu menghargai semangat dia yang sangat positif dan selalu berjuang.
“Dia (Vidi) sangat ‘passionate’ (bersemangat) dalam hidup. Jadi, itu yang benar-benar memberikan inspirasi kepada saya juga,” katanya yang sedia mempertimbangkan untuk menyanyi lagu Frenemy di konsert itu kelak.
Difahamkan, lagu Frenemy mengisahkan persahabatan yang jujur dan santai daripada dua rakan baik yang sering bergaduh, namun pada masa sama masing-masing saling menyayangi dan tetap menyokong.
Sebelum ini, Isyana pernah mengadakan konsert di Malaysia pada 2023 sempena meraikan sedekad kehadirannya dalam industri hiburan.
Kini, dia bersedia untuk kembali menghiburkan peminatnya di Malaysia sebelum berangkat ke beberapa negara Asia lain seperti Korea Selatan, Jepun dan China.
Berbicara mengenai kepulangannya ke Kuala Lumpur, Isyana memaklumkan dia muncul bukan sekadar persembahan konsert, tetapi membawa satu perjalanan muzik yang menghidupkan pelbagai babak dalam karier seninya.
Melalui lagu-lagu dimuat naik Isyana dalam album Eklektiko, dia mengambil inisiatif membahagikan kepada empat babak utama yang diilham sendiri iaitu Lunora, Mamiu, Cecilia dan Abadhi dengan bercirikan karya muzik istimewa.