Kuala Lumpur: Selepas melalui episod yang penuh dengan cabaran, komposer dan penyanyi, Yasin Sulaiman, meluahkan rasa kesal kerana pernah melanggar undang-undang negara, selain berazam untuk tidak mengulanginya lagi pada masa akan datang.

Yasin atau nama sebenarnya Mohamad Yasin Sulaiman, 51, menegaskan pendiriannya untuk patuh sepenuhnya undang-undang dan berjanji tidak akan melanggar sebarang undang-undang di Malaysia termasuklah kesalahan melanggar lampu isyarat merah.

“Daripada apa yang berlaku, saya tidak akan melanggar undang-undang lagi.

“Saya tidak akan melanggar mana-mana undang-undang di Malaysia, sama ada undang-undang itu betul atau tidak, tidak berapa baik atau sebagainya.Advertisement

“Janji ia adalah undang-undang, saya tidak akan melanggarnya. Walaupun lampu isyarat merah,” katanya ketika ditemui semasa sidang media Yang Tinggal di Hotel Royale Chulan, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai status dirinya, Yasin berkata dia tidak malu dengan perkara yang dihadapinya itu dan tidak pernah sama sekali melihat dirinya sebagai seorang penjenayah.

Katanya, apa yang dilakukan tidak melibatkan sebarang jenayah kerana kesalahan yang dilakukanya itu tidak mempunyai mangsa.

“Buat apa nak malu? Saya tidak melakukan jenayah. Jadi, saya tahu bahawa saya bukan seorang penjenayah dan apa yang saya lakukan itu bukan satu jenayah.

“Kes saya tidak mempunyai mangsa. Bagaimana saya hendak dianggap sebagai penjenayah kalau tiada mangsa? Kalau jenayah itu berlaku, mesti ada mangsa.

“Bunuh orang, curi duit dan aniaya orang, itu jenayah. Jadi, kes saya ini tidak mempunyai mangsa,” katanya lagi.

Bagaimanapun, pelantun lagu Mimpi Laila ini tetap akur bahawa dirinya telah melakukan satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Oleh itu, saya tidak berasa malu, Sudah tentu saya kesal dan menyesal kerana telah melanggar undang-undang.

“Kita hidup di Malaysia, ada undang-undang. Kita juga ada Rukun Negara yang mana kita perlu menjunjung kedaulatan undang-undang.

“Jadi, saya memang sudah melakukan kesalahan. Tetapi dalam saya melakukan kesalahan itu, niat saya baik,” ujarnya.

Terdahulu, Yasin dibenarkan keluar dari Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 2 September lalu dan kini berdepan dengan jadual aktiviti yang sangat padat, malah banyak berkongsi kegiatannya di media sosial.

Pada 28 April tahun lalu, Yasin dilaporkan dibebas dan dilepaskan Mahkamah Rayuan, namun diperintah untuk ditempatkan semula di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga diperkenankan Sultan Selangor.

Keputusan dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin selepas menerima rayuan akhir dikemukakan Yasin.

Pada keputusan dibuat, Mahkamah Rayuan juga mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *