Los Angeles : Presley Gerber, anak lelaki tunggal kepada supermodel, Cindy Crawford dan ahli perniagaan, Rande Gerber, meninggal dunia pada usia 27 tahun.

Presley dilaporkan meninggal dunia di sebuah pusat pemulihan di sini, hari ini, berdasarkan rekod Pemeriksa Perubatan Daerah Los Angeles yang diperoleh portal, PEOPLE. TMZ menjadi media pertama melaporkan berita berkenaan.

Wakil keluarga mendiang Presley termasuk ibunya, Cindy; bapanya, Rande dan adiknya, model serta pelakon, Kaia Gerber, memberitahu PEOPLE, keluarganya memohon ruang privasi dalam tempoh sukar dan menyakitkan itu.

Mendiang Presley dilahirkan di Beverly Hills, California pada 1999 dan turut mengikuti jejak langkah ibunya sebagai model. Dia juga pernah terbuka berkongsi mengenai perjuangannya berdepan isu kesihatan mental serta penyalahgunaan bahan terlarang

Pada Disember 2019, mendiang Presley didakwa atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah (DUI).Advertisement

Pada 2020, mendiang Presley dilapor mencacah tatu bertulis ‘misunderstood’ pada wajah sebelum dipercayai membuangnya setahun kemudian.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mendiang Presley semakin terbuka berkongsi mengenai kesihatan mentalnya.

“Sebagai seseorang yang pernah bergelut dengan kesihatan mental, kemurungan dan beberapa perkara lain yang berkaitan dengannya, saya fikir jika saya dapat membantu seorang atau 100 orang keluar daripada keadaan yang pernah saya lalui, itu sudah memadai.

“Kesihatan mental adalah satu isu. Ia sebahagian besar daripada hidup saya. Ia seperti tugas 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan banyak perkara yang perlu dilalui.

“Itulah yang saya mahu lakukan, iaitu membantu orang, sama ada anda mengalami kemurungan atau berdepan sesuatu yang memberi kesan negatif kepada tubuh badan. Ia boleh jadi apa saja dan tiada penghakiman,” katanya menerusi podcast Studio 22.

Mendiang Presley dilapor menambah, pengalaman hidup yang dilaluinya membuatkan dia mahu membantu orang lain supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

“Saya sudah melalui banyak perkara dan belajar banyak perkara. Apa yang saya harap dapat lakukan adalah membuat kesilapan untuk orang lain supaya mereka tidak perlu melakukan kesilapan yang pernah saya lakukan,” katanya.

Mendiang Presley kemudian mula berkongsi video bertemakan ‘Mental Health Mondays’ menerusi akaun Instagram (IG).

Dalam satu video yang dimuat naik pada 2024, mendiang Presley pengalamannya menyertai kumpulan pemulihan dan cara mencari titik persamaan dengan orang lain.

Menerusi video lain yang dimuat naik pada Julai 2025, Presley berkongsi usaha mengamalkan tabiat lebih sihat dalam kehidupannya.

Mendiang Presley berkata, sejak kecil dia seorang yang sangat aktif, termasuk bermain sukan, meluncur air, polo air dan berenang. Bagaimanapun, selepas mula bekerja, aktiviti sukan semakin ditinggalkan.

“Kualiti hidup merosot dengan cepat,” katanya, sambil menambah dia mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk menyedari keperluan kembali aktif secara fizikal.

Dalam video Instagram yang dimuat naik pada Disember 2025 dan kemudian dipadam, mendiang Presley turut berkongsi mengenai beberapa ubat yang diambilnya untuk menangani serangan panik.

“Malangnya, saya mengalami banyak kehilangan dalam pelbagai bentuk baru-baru ini. Itu bukan alasan, tetapi ia adalah sebab mengapa saya berada dalam keadaan sekarang,” katanya.

Mendiang Presley berkata, dia berharap perkongsiannya dapat memberi manfaat kepada orang lain.

“Pertama, supaya anda tidak berasa keseorangan kerana itulah yang sering saya rasakan. Saya percaya jika saya berkongsi semua ini, ramai sekurang-kurangnya akan tahu ada orang lain yang turut melaluinya.

“Kedua, mudah-mudahan saya dapat menemui individu yang sanggup membantu atau mengenali seseorang yang boleh membantu,” katanya.

Dalam edisi September 2026 Vogue, Kaia turut berkongsi mengenai perjuangan abangnya berdepan ketagihan dadah selama sedekad.

“Apabila perkara seperti itu berlaku dalam sebuah keluarga, ia memberi kesan kepada semua orang,” kata Kaia.

Kaia berkata, dia akhirnya mengetepikan keperluan dirinya sendiri dan menganggap dirinya sebagai anak yang mudah diurus serta enggan meminta bantuan kerana merasakan keluarganya sudah berdepan terlalu banyak perkara.

Dia juga menyifatkan keterbukaan mendiang Presley berkongsi kisah hidupnya sebagai sesuatu yang menyegarkan.

“Sepanjang kebanyakan hidup kami, ibu bapa sangat menjaga privasi dan tidak berkongsi apa-apa. Kini kami mempunyai seorang guru sebenar dalam diri abang saya yang berkata, ‘Saya akan menjadi manusia sebenar untuk semua orang.’

“Tidak banyak yang boleh kita sembunyikan daripada dunia. Cuba menutup sesuatu hanya membuatkan seseorang berasa seolah-olah kita malu dengan mereka,” katanya.

Mendiang Presley menandatangani kontrak bersama agensi peragaan IMG Models ketika berusia 15 tahun. Pada usia 17 tahun, Presley dan Kaia, yang ketika itu berusia 14 tahun, mula mendapat perhatian besar dalam dunia peragaan.

Mendiang Presley membuat kemunculan sulung di pentas peragaan menerusi pertunjukan Moschino di sini, sebelum beraksi di Milan untuk pertunjukan Dolce & Gabbana dan muncul dalam kempen Calvin Klein.

Dalam wawancara bersama W Magazine pada 2016, mendiang Presley berkata perkara yang bermain di fikirannya ketika awal menceburi pentas peragaan hanyalah memastikan dirinya tidak terjatuh.

“Jangan jatuh. Itu saja. Saya cuma fikir, ‘Tolong jangan tersadung, sampai ke penghujung.’

“Saya mudah terganggu, jadi jika saya fokus kepada apa yang sedang dilakukan, saya boleh melakukannya dengan lebih baik,” katanya.

Pada 2018, mendiang Presley memberitahu PEOPLE, bekerja bersama Kaia menjadikan dunia peragaan kurang sunyi. Dia turut mendedahkan, walaupun memperoleh keputusan baik ketika di sekolah menengah, dia merancang untuk tidak menyambung pengajian ke kolej.

“Saya memang mahu menyambung pengajian untuk seketika, tetapi kemudian saya mula bekerja. Sekarang saya sangat seronok, jadi prinsip saya adalah jangan ubah sesuatu jika ia tidak rosak,” katanya.

Mendiang Presley meninggalkan ibu bapanya serta adiknya, Kaia. – PEOPLE

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *