Kuala Lumpur : “Kebakaran hutan yang hampir memusnahkan rumah kami,” demikian kongsi pelakon, Ben Amir, selepas berdepan detik cemas apabila kediamannya hampir musnah akibat kebakaran hutan di Pulau Siargao, Filipina yang hampir merebak ke sekitar kediamannya.
Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 36, berkongsi semula detik cemas menerusi Instagram dalam kejadian yang berlaku semalam apabila dia sedang berehat sebelum tiba-tiba terhidu bau asap yang sangat kuat.
Menurut pelakon drama Sweet Dreams itu, keadaan angin yang kencang menyebabkan api pantas merebak ke kawasan sekitar sehingga menjadikan seluruh kawasan dipenuhi asap tebal.
“Tadi aku tengah rest (rehat) kat rumah bila tiba tiba bau asap kuat gila. It was a wildfire (ia adalah kebakaran hutan) terbakar dekat tanah sebelah rumah aku, and because the wind was so strong, the fire started spreading really quickly (dan disebabkan angin yang begitu kencang, api mula merebak dengan sangat pantas).
“Keseluruhan kawasan tiba-tiba dipenuhi asap, dan sejujurnya, ia memang menakutkan,” tulisnya.
Bagaimanapun, Ben melahirkan rasa syukur kerana dia bersama ahli keluarga selamat dan rumah mereka masih berada dalam keadaan baik walaupun kejadian itu meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka sekeluarga.
Dalam masa sama, Ben turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang hadir memberi bantuan, mengambil tahu keadaan jiran tetangga serta berusaha membantu mengawal api daripada terus merebak.
“Syukurlah, kami selamat dan rumah kami juga tidak mengalami kerosakan. Namun, kejadian ini benar-benar mengejutkan kami.
“Kami amat menghargai dan berterima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu, bertanya khabar jiran tetangga, serta berusaha mengawal kebakaran tersebut. Keadaan ini boleh sahaja berakhir dengan jauh lebih buruk,” kongsinya.
Dalam pada itu, Ben bersyukur kerana masih diberi peluang meneruskan kehidupan dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati serta menjaga keselamatan diri masing-masing.
“Kami berasa sangat bersyukur kerana kami selamat, rumah kami masih utuh, dan kami berpeluang untuk bangun pada hari esok. Harap semua orang sentiasa menjaga keselamatan diri,” tulisnya.
Menerusi hantarannya di Instagram Story, Ben turut berkongsi segala tanaman buah miliknya musnah.
“Saya masih cuba memproses apa sebenarnya yang berlaku hari ini. Rumah kami hampir musnah dijilat api.
“Semua pokok mangga, avokado, jambu batu, pisang, beri mulberi, tebu dan kelapa saya telah musnah,” katanya di Instagram Story.
Menjengah ke dalam ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa lega selepas Ben serta keluarganya berada dalam keadaan baik, selain mendoakan kediaman mereka terus dilindungi daripada sebarang kejadian tidak diingini.
Untuk rekod, Ben mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya berasal dari Filipina, Liana Alara atau nama asalnya Maiya dan mengambil keputusan berhijrah dan menetap di Pulau Siargao, Filipina sejak awal 2025.