Kuala Lumpur : Kumpulan legenda K-Pop generasi kedua, T-ARA bakal kembali menemui peminat di Malaysia menerusi T-ARA Fan-Con In Malaysia 2026 (Summer Again) yang dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena pada 9 Ogos ini.
Acara anjuran T-Rex Studio Sdn Bhd itu bakal menyaksikan empat anggotanya iaitu Qri, Eunjung, Hyomin dan Jiyeon bergabung semula di atas pentas untuk menghiburkan peminat tempatan menerusi deretan lagu popular, sesi interaksi serta manfaat eksklusif.
Penganjuran fan-con berkenaan menandakan penampilan solo pertama T-ARA di Malaysia selepas beberapa kali hadir sebelum ini sebagai sebahagian daripada festival atau konsert gabungan artis K-Pop.
Ditubuhkan pada 2009, T-ARA yang mengambil nama daripada perkataan tiara melambangkan cita-cita mereka untuk menjadi ‘ratu’ dalam industri muzik, selain disokong oleh kelompok peminat setia yang dikenali sebagai Queen’s.
Antara lagu yang melonjakkan nama kumpulan ini merentasi Asia termasuk Bo Peep Bo Peep, Roly-Poly, Lovey-Dovey, Cry Cry, Day by Day, Sexy Love, Number Nine dan Sugar Free.
Malaysia turut mempunyai lipatan sejarah tersendiri bersama T-ARA menerusi showcase pada 2012, konsert terbuka di Johor Bahru (2015), K-Pop Music Wave Concert di Pulau Pinang (2017) serta The Ye!loO Concert di Kuala Lumpur pada 2025.Loading…00:0001:00Tonton Non Stop, On Top!
Bagi mengubat kerinduan peminat, jualan tiket yang bermula sejak 7 Julai lalu ditawarkan menerusi platform Ticketing Tix dan GimmeTix pada harga RM338, RM388, RM488, RM588, RM688, RM788 dan RM888.
Setiap kategori tiket menawarkan pelbagai manfaat berbeza seperti sesi Hi-Bye, album serta poster bertandatangan, polaroid bertandatangan dan sesi bergambar berkumpulan.
Malah, pemegang tiket kategori VIP RM888 dijamin menerima satu sesi bergambar khas bersama ahli kumpulan.
Dengan pengalaman lebih 17 tahun dalam industri, kepulangan T-ARA ke ibu kota bukan sahaja mengubat kerinduan Queen’s tempatan, malah memberi peluang kepada peminat generasi baharu untuk menyaksikan sendiri aksi salah sebuah kumpulan wanita paling berpengaruh dalam sejarah K-Pop.