Walaupun selesa dengan imej comel yang dibawanya sejak awal kemunculan dalam industri hiburan, pelakon Syanie Hisham kini memasang tekad untuk mengurangkan berat badan demi merealisasikan impian murni menunaikan ibadah haji.

Syanie atau nama sebenarnya Syaniza Hisham, 52, mendedahkan bahawa dia kini mengamalkan kaedah puasa berselang-seli (intermittent fasting) secara konsisten sehingga berjaya membuang hampir 20 kilogram (kg) dalam tempoh beberapa bulan.

Langkah itu diambil selepas pemeriksaan kesihatan bagi urusan visa haji sebelum ini tidak melepasi syarat ukuran Indeks Jisim Badan (BMI) yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.Advertisement

“Sepatutnya saya dijadualkan menunaikan haji pada tahun ini, namun disebabkan syarat ketat BMI daripada kerajaan Arab Saudi, hajat itu terpaksa ditangguhkan dahulu.

“Masa mula-mula buat pemeriksaan kesihatan awal tahun lalu, berat saya sekitar 147kg. Daripada situ, saya tekad amalkan ‘intermittent fasting’ ditambah pula dengan ibadah puasa Ramadan. Alhamdulillah, kini berat saya berada pada angka 130kg,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai perjuangan bentuk badannya, Syanie mengakui ramai yang tidak tahu bahawa berat badannya pernah mencecah angka tertinggi iaitu 220kg ketika membintangi filem Biar Betul pada 2004.

Hasil usaha gigih dan pembedahan bariatrik yang pernah dilakukannya sebelum ini, dia pernah berjaya menurunkan berat badan sehingga cecah 115kg.

“Orang selalu ingat badan saya kecil sikit sahaja, padahal saya dah ‘membuang’ berat hampir seorang manusia. Dari 220kg turun ke 115kg, itu satu julat yang sangat besar. Cuma biasalah, berat badan ada turun naiknya.

“Dulu masa berat saya cecah 115kg, orang ramai sampai tak kenal saya bila jumpa di luar. Malah ada yang suruh saya jangan kurus sangat sebab katanya dah tak nampak macam ‘Syanie’ yang mereka kenal. Pening juga melayan kehendak orang,” katanya.

Menurut Syanie, pendiriannya kini bukan untuk mengejar saiz badan yang idaman seperti peragawati, sebaliknya lebih berfokus kepada aspek kesihatan dan kemudahan untuk beribadah.

“Saya ukur baju di badan sendiri. Saya dari dulu berbadan besar, takkan saya nak berangan nak dapat saiz badan macam Erra Fazira atau Datuk Seri Siti Nurhaliza pula.

“Alhamdulillah, dari segi kesihatan dalaman, saya tiada penyakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi. Cuma faktor umur 52 tahun ini ada sedikit sakit-sakit sendi dan lutut.

“Jadi, bila kurangkan sikit berat badan, sekurang-kurangnya pergerakan saya lebih ringan untuk beribadah,” katanya.

Syanie turut mengakui, ketenangan yang dinikmatinya kini bersama suami, Zahril Hafiz Mohammed Nor serta sokongan keluarga menjadi pendorong utama untuk dia kekal positif menjalani kehidupan seharian.

“Alhamdulillah, kami dah melangkah ke tahun kelima perkahwinan. Suami saya seorang yang sangat menyayangi dan menjaga saya dengan baik.

“Sebelum kami berkahwin, dia sendiri yang berusaha mengambil hati Mummy. Bila Mummy kata ‘This one I approve’ (Ini saya setuju), baru saya yakin,” katanya.

Bagi Syanie, ketenangan hidupnya kini dikecapi kerana dia tidak lagi memikirkan hal keduniaan atau kemewahan.

“Kebahagiaan saya sekarang sangat bersederhana. Saya bebas daripada hutang. Yang penting dapat bersama keluarga, berjalan-jalan dengan suami dan menjalani hidup dengan tenang. Itu sudah mencukupi.

“Insya-Allah, jika ada rezeki dan diizinkan Allah SWT, saya sasarkan untuk menunaikan haji pada tahun hadapan. Perjuangan menurunkan berat badan ini akan saya teruskan secara perlahan-lahan demi mencapai cita-cita murni itu,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *