KUALA LUMPUR: “Pelakon aksi memang macam itu. Kalau dia tengok, mmm… okey, tak ada meletup lagi, okeylah itu.

“Kalau meletup lainlah cerita. Saya selamatkan isteri saya, peluk dia, tak ada hal kan,” kata pelakon Pablo Amirul, spontan.

Pablo atau pemilik nama Amirul Hisyam Mohd. Sakri, 42 menjawab mengenai insiden kebakaran kecil yang berlaku ketika dia dan isterinya sedang bersanding di atas pelamin.

Pasangan itu kelihatan sedang mengadakan sesi fotografi yang diiringi gimik letupan belon.

Secara tiba-tiba tercetus kebakaran kecil di sebelah pentas membuatkan segelintir jemputan cemas.

Pablo bagaimanapun dilihat tenang dan ketawa apabila kebakaran ini berjaya dipadamkan oleh kakitangan pengurusan perkahwinan.

Terdahulu Pablo sah bergelar suami kepada Dr Hana Rose atau Hani Farhana Hasrul Sani pada jam 12.30 tengah hari dalam majlis akad nikah yang berlangsung di The Dove Hall, Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.

Pablo melahirkan kesyukuran apabila selamat bergelar suami kepada wanita yang dicintainya.

“Saya melalui pelbagai perkara dengan dia. Kita punya rintangan itu bukan mudah. Akhirnya kalau dah jodoh tertulis, disatukanlah pada hari ini.

“Itulah sebabnya saya menangis, bukan lemah, tidak. Sebab lalui pelbagai rintangan. Jadi akhirnya saya dihantarkan seseorang untuk menjadi isteri saya.

“Saya menangis, kegembiraan, menangis kesyukuran. Alhamdulillah,” katanya.

Sementara itu, Hana mengakui dirinya seorang ibu tunggal kepada anak perempuan yang dinamakan Ariana Rose.

“Saya sudah lama berdikari sebagai seorang wanita. Akhirnya saya bertemu lelaki yang mampu melindungi saya.

“Walaupun wajahnya nampak garang, tetapi hatinya sangat damai,” katanya lembut.

Pablo juga menyifatkan kehadiran ibu dan anak itu sebagai hadiah paling bermakna dalam hidupnya.

“Allah sudah aturkan saya terus melangkah ke alam bapa. Saya gembira. Setiap hari saya berdoa untuk memiliki keluarga dan akhirnya Allah makbulkan,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *