Kuala Lumpur : “Senang-senang, silakan menonton video di TikTok saya. Terima kasih.”
Itu balasan pelakon dan pelawak, Melati Zero kepada hantaran seorang netizen yang memuat naik hantaran di Threads dan mencetuskan tanda tanya kepada usaha Melati untuk mengumpul dana dan bersedekah.
Dalam komen balasan itu, Melati atau nama sebenarnya Muhammad Syaiful Doli Sharif, 38, menjelaskan kepada individu itu mengenai rutin infaq yang dilaksanakannya.
“Setiap Isnin hingga Khamis, kami melaksanakan infaq sebanyak 50 bungkus kuih dan nasi lemak.
“Manakala pada hari Jumaat, infaq nasi lemak akan diagihkan kepada masjid dan surau.
“Lebihan sumbangan pula akan disalurkan kepada anak-anak yatim piatu,” tulisnya.
Melati turut berkongsi salah satu video usaha sedekah dan infaq yang dilakukannya.
“Banyak lagi video-video setiap Jumaat infaq nasi lemak di TikTok. Kalau ada masa terluang, tengok ya,” tulisnya.
Harian Metro cuba menghubungi pihak Melati untuk mendapatkan komen lanjut, namun belum menerima sebarang maklum balas.
Terdahulu, seorang individu yang juga pengguna Threads meminta netizen untuk menyemak mengenai Melati.
Menurutnya, hampir setiap pagi, dia membuat siaran langsung di TikTok untuk meminta derma bagi disedekahkan kepada penduduk setempat.
Tambah individu itu lagi, ramai pengguna TikTok menggunakan konsep sedekah untuk melariskan jualan masing-masing, umpama tidak kena dari segi etika dan agama.