Kuala Lumpur : Bekas vokalis kumpulan Wings pada 1995 menerusi album Orang Asing, Mel, 60, memaklumkan sudah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Surau di kawasan Puncak Jalil yang disandangnya sejak enam tahun lalu.

Mel atau Ismail Zainuddin berkata, keputusan itu dibuat memandangkan dia akan terbabit dengan projek bersama keluarga selepas ini.

“Keputusan itu dibuat kerana banyak kerja saya akan buat. Bulan puasa ini pun saya nak mula perniagaan. Lepas itu saya nak uruskan satu projek bersama keluarga.

“Ia untuk satu perniagaan yang baik dan bermanfaat. Jadi saya ambil keputusan letak jawatan dan ia diterima baik oleh komuniti di situ.

“Namun saya tak duduk diam kerana sepanjang bulan puasa juga aktiviti saya padat dengan tazkirah di beberapa lokasi,” katanya kepada Harian Metro.

Mel yang menjadi vokalis undangan kumpulan Barbarik, menafikan tindakan itu dibuat disebabkan dia kembali aktif dalam bidang nyanyian.

“Saya menyanyi ini pun satu kerjaya yang tetap. Cuma, tugas sebagai Pengerusi Surau sebelum ini tetap didahulukan juga. Sebenarnya saya bahagi sama rata.

“Biasalah. Menyanyi tak banyak kerja pun. Cuma sesi praktis itu yang banyak sikit saya kena buat kerja.

“Semuanya okey. Masyarakat terutama netizen kadang-kadang fikir lain. Cuma kita di atas pentas itu jangan melanggar larangan-larangan. Itu yang jadi masalah,” katanya.

Mel berkata, persembahannya masih lagi terkawal dan dia melihat faktor umurnya tidak sesuai melakukan sesuatu yang kurang manis di atas pentas.

“Kerja dan umur. Tapi satu benda yang kita perlu ingat, kita bukan macam dulu. Bila kita sudah umur begini, kenalah bawa dengan cara umur sekarang. Tidaklah orang kata keterlaluan.

“Macam dulu kita boleh panjat tiang, panjat apa semua kan? Tapi masa itu dah berlalu. ‘Past is past’. Cuma kita ambil yang baru ini untuk kita tertibkan diri kita lebih cantik lagilah.

“Tak ada niat nak melalaikan. Insya-Allah tak ada. Kita buat style yang orang terima dan mudah dipelajari oleh pengikut dan peminat yang suka dengan muzik dan setia dengan muzik,” katanya.

Mel tampil pada Konsert Pentas Barbarik Volume 2 di Mega Star Arena, Bukit Bintang pada Sabtu lalu dengan menyampaikan dua lagu iaitu Ranjang Mawar dan Lena Diulit Intan.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *