Kuala Lumpur: Pelawak Shamsul Ghau Ghau yang dilaporkan mengalami darah beku dalam otak sudah menjalani pembedahan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang, malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan anaknya, Megat Ummar Azhar melalui hantaran media sosial.

Pencetus Ummah (PU) Amin pula berkongsi entri yang antara lain menyebut Shamsul atau nama sebenar, Shamsul Azahar Aliddin, 57, stabil selepas pembedahan.

Megat Ummar Azhar berkata, bapanya berada dalam keadaan baik selepas dibedah.

“Salam semua, saya anak kepada Pak Su Shamsul ingin memaklumkan bapa saya baru sahaja selesai menjalani pembedahan.

“Alhamdulillah, keadaannya stabil dan berada dalam keadaan baik. Terima kasih atas perhatian serta doa daripada semua pihak,” katanya.

Menyemak komen, rata-rata peminat mendoakan Shamsul segera sembuh.

Sebelum ini, Shamsul dilapor dirawat di HSAAS selepas dipercayai mengalami darah beku pada otak.

Perkembangan mengenai keadaan Shamsul dikongsi pelakon Sheila Mambo yang beroleh maklumat daripada isteri pelawak itu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *