Kuala Lumpur: Niat asal mahu membina sebuah butik, namun pelakon popular, Norman Hakim, 50, memilih untuk mendirikan sebuah surau di ibu pejabat syarikat perniagaannya, baru-baru ini.

Norman atau pemilik nama Mohamed Nurhakim Zaidon berkongsi perkara itu menerusi hantaran video di Instagramnya, semalam.

Menurut Norman, pada asalnya, ruang itu sepatutnya dibina sebagai butik jenama Normey, tetapi idea untuk membina surau datang ketika dia dan keluarganya bercuti di Jepun, baru-baru ini.

“Langkah kecil ke arah masjid pertama Normey bermula dengan sebuah surau. Setiap binaan besar sentiasa bermula dengan niat yang jujur dan langkah yang sederhana.

“Asalnya, perancangan kami adalah untuk membina butik fizikal Normey. Namun, ketika berdiri dalam saf solat Jumaat di Sapporo, Jepun, Allah alihkan arah niat. Daripada membina ruang jual beli kepada menyediakan ruang sujud,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Norman turut berkongsi bahawa surau-surau yang diwujudkan dalam premis di Jepun, dibina dalam keadaan cantik serta turut dibuka kepada komuniti.

“Dengan enam saf, insya-Allah mampu memuatkan sekitar 100 jiran-jiran niaga dalam radius HQ Normey untuk sama-sama mengimarahkan solat secara berjemaah selepas ini.

“Surau ini diharap menjadi tempat menenangkan jiwa, lebih sejuk dan lebih damai. Bukan angka yang dibanggakan, tetapi amanah yang ingin dipelihara,” kongsinya.

Dalam hantaran yang sama, Norman turut berniat agar surau itu dapat dihidupkan dengan ibadah-ibadah pada Ramadan nanti seperti solat tarawih, doa dan air mata kebergantungan hanya kepadaNya.

“Kerana kejayaan sebenar bukan pada apa yang kita bina di dunia, tetapi apa yang menghubungkan kita dengan langit,” tulisnya.

Hantaran itu mencuri perhatian netizen yang rata-rata gembira dengan pembinaan surau itu dan turut mendoakan agar segala urusan Norman serta keluarganya dipermudahkan.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *