Kuala Lumpur: Kehadiran peminat setia penyanyi Anuar Zain dikenali sebagai Rokiah, 81, antara yang mencuri tumpuan pada Konsert Healing Nite 2026 di Stadium Merdeka, di sini, malam tadi.
Warga emas dari Terengganu itu antara kira-kira 20,000 penonton yang hadir pada konsert berkenaan.
Dalam ucapannya, Anuar mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua peminatnya yang hadir pada malam itu.
“Terima kasih kerana memilih untuk ‘healing’ bersama kami malam ini. Marilah kita menyanyi bersama-sama,” katanya sambil disambut sorakan daripada penonton.
Bagi meraikan peminat setianya, Anuar turun dari pentas untuk bertemu dengan Rokiah atau nama sebenarnya, Rokiah Hamzah yang hadir bersama anak dan cucunya pada konsert berkenaan.
“Saya doakan semoga mak cik Rokiah dikurniakan barakah, kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jaga diri dan jumpa nanti,” katanya.
Pada malam itu, Anuar menyampaikan empat lagu popularnya iaitu Kau Bunga Cinta Ku, Keabadian Cinta, Sesucinya Cintaku dan Sedetik Lebih
Suasana semakin meriah bila Anuar memberikan puluhan ‘teddy bear’ (patung beruang) kepada peminat yang bertuah pada malam itu.
Ratu Rock Negara, Ella kemudian tampil dengan persembahan lincah dan bertenaga sambil berlari di atas pentas serta mengajak penonton menyanyi dengannya.
Ella juga menyampaikan empat lagu hits iaitu Layar Impian, Retak dan Pedih secara medley, Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Sembilu
Terdahulu, Dayang membuka tirai persembahan dengan empat lagu iaitu Umpan Jinak Di Air Tenang, lagu baharunya Lemah, Aku dan diakhiri dengan Lelaki Teragung.
Selain itu, konsert ini turut menampilkan artis dari seberang, Lyodra serta Kangen Band.