KUALA LUMPUR: Tiada kata-kata dapat menggambarkan keterujaan kumpulan ‘dance’ wanita popular, Dolla apabila pembabitan mereka pada konsert yang membariskan bintang k-pop di ibu negara pada 31 Januari ini, dipilih sendiri oleh ikon genre muzik itu, iaitu G-Dragon bersama pengurusnya.
Lantas, Dolla menyifatkan peluang beraksi pada Konsert K-Spark Malaysia 2026, umpama mimpi menjadi nyata.
Anggota Dolla, Angel meluahkan rasa tidak percaya apabila mereka dipilih untuk berkongsi pentas dengan nama hebat seperti Itzy,
Hwasa, DPR Ian dan pastinya tidak ketinggalan, G-Dragon.
“Ketika Dolla dimaklumkan mengenai senarai penyanyi yang akan turut serta dalam acara itu, kami sangat terkejut kerana tak sangka ada gabungan sehebat ini.
“Apabila Dolla dipilih menjadi sebahagian daripada artis yang bakal merancakkan lagi acara malam itu, lagilah membuatkan kami rasa seperti mimpi.
“Peluang ini adalah suatu penghormatan besar buat Dolla. Kami tidak sangka dapat berkongsi pentas dengan artis yang pernah menjadi idola,” katanya pada sidang media pengumuman konsert k-Spark Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.
Selain Angle, Dolla dianggotai oleh Sabronzo dan Tabby.
Bagi tidak mengecewakan kepercayaan diberikan G-Dragon yang diberi julukan King Of K-Pop, Dolla akan memastikan persembahan mereka mencapai tahap kualiti antarabangsa.
Sabronzo pula berkata, mereka kini giat melakukan persiapan rapi, termasuk nyanyian dan tarian di studio.
Janjinya, penonton bakal disajikan dengan persembahan berbeza daripada Dolla pada malam itu.
“Setakat ini kami belum tahu berapa lagu yang bakal Dolla bawakan. Tetapi, apa yang pasti, kami akan cuba untuk memukau penonton pada malam itu,” katanya.
Tak harap dapat jumpa
Tabby berkata, Dolla mahu mengambil peluang itu untuk memperkenalkan kumpulan itu kepada kelompok peminat baharu.
“Sebelum ini peminat kami kebanyakan orang Melayu, tetapi konsert K-Spark nanti bakal dihadiri peminat berbilang bangsa dan mungkin dari luar negara.
“Jadi, ini peluang terbaik untuk kami memperkenalkan diri dan beri persembahan yang belum pernah mereka lihat sebelum ini.
“Dolla akan persembahkan lagu-lagu Melayu kami. Saya fikir ini akan menjadi sesuatu yang menyegarkan untuk penonton, selain kehadiran kami yang menjadi kelainan dalam barisan artis kali ini,” katanya.
Sementara itu, Dolla tidak meletakkan harapan bertemu penyanyi yang pernah menjadi idola mereka di belakang tabir.
Angel mengakui mereka bersikap realistik dan sangat menghormati kawalan keselamatan ketat yang biasanya mengiringi artis dari Korea Selatan.
“Kami tahu kawalan keselamatan mereka sangat ketat dan kami sangat hormati perkara itu.
“Namun, jika ada peluang untuk bergambar, sudah tentu kami tidak akan melepaskannya,” katanya.
Dianjurkan Machi Production, Konsert K-Spark Malaysia 2026 akan dipentaskan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Januari, mulai jam 9.05 malam.
Harga tiket bermula RM388 hingga RM988 dengan pelan tempat duduk dan butiran pembelian tiket, bakal diumumkan tidak lama lagi.