Selain genre muzik seperti pop, balada dan rock yang mempunyai ramai peminat, perlu diingat bahawa genre metal dan punk juga mempunyai pendengar atau kelompok pengikut tersendiri.

Justeru, bagi menghargai peminat muzik metal dan punk, Vox Nation Live mengambil inisiatif untuk menganjurkan Metalverse pada 30 April hingga 1 Mei depan.

Bertempat di Megastar Arena Kuala Lumpur, Metalverse iaitu festival muzik berskala antarabangsa dijadualkan bakal berlangsung dari jam 3 petang mampu untuk memberikan hiburan muzik meriah.

Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang berkata Metalverse diwujudkan sebagai platform eksklusif untuk meraikan metal dan punk yang bukan sekadar genre muzik, tetapi satu komuniti daripada semangat kejujuran, tenaga dan kebersamaan peminat.

“Idea untuk menganjurkan Metalverse ini tercetus daripada satu kekosongan yang jelas dalam landskap muzik live (secara langsung) serantau dengan gabungan penyanyi dan band indie berkaliber.

“Walaupun di Malaysia mempunyai komuniti metal dan punk yang bersemangat serta berpengetahuan, festival berskala besar ini benar-benar memberi fokus kepada genre muzik ini .

“Meskipun terlihat masih jarang, namun kami selaku penganjur berhasrat agar genre metal dan punk ini bukan sekadar muzik semata-mata, tetapi ia juga adalah budaya dalam kalangan peminatnya.

“Sehubungan itu, Metalverse adalah platform yang akan memberi penghormatan sewajarnya kepada komuniti metal dan punk tempatan untuk berhubung dengan ekosistem global juga,” katanya.

RADHI OAG berbesar hati dapat membuat persembahan di Metalverse. FOTO Amirudin Sahib
RADHI OAG berbesar hati dapat membuat persembahan di Metalverse. FOTO Amirudin Sahib

Antara bakat metal dan punk tempatan bakal tampil seperti Bunkface, Radhi OAG, SOG (Sekumpulan Orang Gila) dan beberapa lagi yang mempunyai kelompok peminat sendiri.

Tidak hanya itu, dijangkakan juga ada enam bintang antarabangsa yang dikenali ramai dalam genre metal dan punk turut diundang bagi meraikan peminat masing-masing.

Mengulas pemilihan Megastar Arena sebagai lokasi acara, Shawn berkata, sebagai penganjur sudah tentu penelitian dibuat dari segi keseimbangan kapasiti, kualiti bunyi dan kemudahan akses lain.

“Kami percaya lokasi ini amat strategik, selain membolehkan pengalaman penonton dicipta dengan cukup menarik dan dekat dengan pemuzik kesukaan mereka menerusi pilihan lagu yang menarik.

“Apa yang pasti, keseronokan dan impian peminat akan tercapai menerusi persembahan lagu metal dan punk yang menjadi kesukaan mereka,” katanya.

Difahamkan, antara nama besar bakal tampil seperti Of Mice & Men dan Blessthefall dengan mewakili pelbagai cabang muzik yang menyentuh emosi peminat.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *