Shah Alam: Penyanyi dari Singapura, Iskandar Ismail, 47, menyifatkan bapanya, Allahyarham R Ismail yang juga penyanyi era 1950-an dengan lagu popular, Gurindam Jiwa adalah tulang belakangnya dalam karier seni.

Menurut Iskandar yang dinobatkan juara Gegar Vaganza Ke-12 (GV12) baru-baru ini, dia yakin sekiranya arwah bapa masih hidup pasti Allahyarham teruja dengan pencapaiannya itu.

“Kalau arwah abah saya R Ismail masih ada, saya rasa dia sangat bangga dan pasti akan peluk cium saya berkali-kali, saya rasa. Hadiah ini sebenarnya untuk dia juga kerana saya sentiasa mendoakannya.

“Kenangan saya bersama arwah abah sangat banyak terutama bila saya menyertai pertandingan menyanyi di Singapura, arwah selalu memberi saya kata semangat dan ingatkan konsentrasi ketika menyanyi.

“Arwah abah tidak latih saya dari segi teknikal vokal dia sudah tahu kekuatan suara saya. Jadi, yang saya selalu rindukan arwah abah bila setiap kali saya jumpa dengannya dulu, dia tahu keistimewaan saya yang tidak menyanyikan lagu-lagu asli.

“Genre muzik saya lebih kepada balada dan rock. Jadi, saya gembira sebab arwah abah tetap menerima baik dan ikhlas apa sahaja genre lagu yang saya nyanyikan,” katanya kepada Harian Metro.

Iskandar yang serius menyanyi sejak 2001 selepas menyertai program realiti TV, Anugerah di Singapura memberitahu dia sudah menghasilkan album dan melancarkan banyak lagu baharu di negara kelahirannya itu.

Katanya lagi, arwah bapanya adalah individu penting yang menjadi ‘orang kuat’ terhadap karier nyanyiannya kerana sanggup datang ke rumah mengajar vokal dan melatih ketika dia menyertai pertandingan-pertandingan menyanyi.

“Saya pernah hilang suara, emak saya buatkan air belimbing satu periuk panas-panas untuk saya agar vokal saya dapat dipulihkan. Ini kerana, saya hilang suara sebelum final dalam pertandingan menyanyi disertai.

“Jadi, itulah antara cabaran yang saya lalui dan tidak pernah dilupakan. Selain itu, saya juga berterima kasih tidak terhingga kepada isteri saya yang sangat memberikan sokongan agar saya menyertai GV12 ini,” ujarnya.

Ditanya perancangan karier nyanyiannya di Malaysia, Iskandar berkata dia sudah mendapat peluang menghasilkan dua lagu iaitu lagu runut bunyi (OST) drama dan satu lagi lagu hari raya yang rakamannya sudah pun dilalukan.

Kemenangan Iskandar sebagai juara GV12 melayakkannya membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000, set ruang tamu berserta trofi.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *