Kuala Lumpur: Kemunculan penyanyi rap sensasi antarabangsa, Cardi B, di Arab Saudi dengan penampilan dilihat ‘patuh syariah’ ketika menjayakan sebuah konsert, baru-baru ini, menarik perhatian pengguna media sosial.
Menerusi beberapa hantaran di Instagram, Cardi memuat naik foto memperlihatkan dirinya mengenakan busana serba hitam yang longgar dan labuh termasuk ketika bersenam.
Ia selari dengan peraturan serta sensitiviti budaya tempatan yang ditetapkan kepada selebriti antarabangsa yang hadir dalam acara hiburan di negara itu.
“Hello Arab Saudi, Halal B sudah tiba,” tulis penyanyi itu secara berseloroh dalam satu hantaran.
Cardi turut berkongsi video memaparkan dirinya lengkap berjubah dan berhijab sambil berlari di atas alat senaman treadmill sebelum memberi salam.
“Assalamualaikum, masya-Allah,” katanya dalam rakaman berkenaan.
Difahamkan, kehadiran Cardi B ke Arab Saudi bagi menjayakan persembahan sempena Festival Soundstorm 2025 di Riyadh bersama beberapa artis popular antarabangsa lain.
Perkongsian berkenaan menerima pelbagai reaksi positif, dengan ramai netizen memuji sikap penyanyi itu yang dilihat menghormati budaya dan agama negara yang dikunjunginya.
Tindakan Cardi B itu turut dianggap sebagai contoh kepada selebriti antarabangsa agar lebih peka terhadap nilai tempatan ketika membuat persembahan di negara luar.