KUALA LUMPUR: Sesi Meet & Greet Artis Top 10, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-37 yang berlangsung di kafe gaya Eropah, DOME, LaLaport, hari ini, bertukar meriah dengan kehadiran hampir 50 peminat dua calon Top 10 kategori Penyanyi Lelaki Popular, Khai Bahar dan Naqiu.
Hadir dengan konsep serba sedondon, kumpulan peminat Khai yang dikenali sebagai Khai Bahar Empire (KBE) memilih busana rona merah, manakala penyokong setia Naqiu, NaqiuRious, tampil dengan warna biru sebagai simbol kesetiaan.
Suasana semakin hangat apabila kedua-dua penyanyi itu melayan peminat melalui tiga aktiviti permainan interaktif yang disusun khas bagi mendekatkan lagi hubungan antara artis dan peminat.
Aktiviti santai namun menghiburkan itu mencetuskan derai tawa, selain mencipta momen manis yang akan dikenang semua yang hadir.
Kemeriahan peminat kedua-dua calon itu turut menggambarkan bahang saingan ABPBH 37 yang kian terasa, terutama menjelang malam kemuncak yang semakin hampir.

Acara ramah mesra itu bukan sekadar ruang pertemuan, malah menjadi platform untuk peminat melihat sisi berbeza Khai dan Naqiu yang kelihatan lebih relaks, spontan dan ‘sporting’ di luar pentas persembahan.
Dengan sokongan padu ditunjukkan KBE dan NaqiuRious, saingan merebut gelaran Penyanyi Lelaki Popular ABPBH 37 dijangka semakin sengit dan menarik untuk diikuti.