Kuala Lumpur: Bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi iaitu Shuhada Shukri kembali semula mengemaskini akaun Instagram (IG) dengan berkongsi berita gembira berkaitan kecemerlangan pelajaran anak perempuannya, Humairah, 8.
Sebagai ibu tunggal yang membesarkan dua cahaya mata di luar negara, Shuhada, 32, meluahkan rasa bangga terhadap Humairah apabila kanak-kanak itu berjaya meraih gelaran Pelajar Terbaik di sebuah sekolah di Australia.
Menerusi hantaran video terbaharu dimuatnaik Shuhada di IG dengan menyertakan emoji menangis, dia teruja dengan kejayaan anak sulungnya itu sebagai murid Melayu tunggal yang mampu berdiri sebaris dengan pelajar antarabangsa lain.
“The best student of JLC (1/78).
“Wahai anakku Humairah ibu bangga dengan kamu, bangga dengan pencapaian akademik dan kokurikulum dengan adab kamu, dengan senyuman dan akhlak kamu.
“Ibu bangga dengan kamu wahai anak. Tahniah!,” tulisnya pada kapsyen video dimuatnaik berserta emoji hati berwarna putih.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan tahniah serta menyifatkan Shuhada sebagai ibu terbaik kerana berjaya mendidik Humairah dengan adab dan akhlak Melayu di negara orang walaupun bersendiri.
“MasyaAllah, Tabarakallah! Tahniah Humairah,” komen pelakon dan pengacara, Janna Nick.
“Tahniah Humairah. Anak kebanggaan ibu awak, semoga terus berjaya.
“MasyaAllah Humairah, hebat, mommy luar biasa.
“Humairah sayang, tahniah. Tinggi adab mu nak. Hebat didikan ibumu.
Sebelum ini, Shuhada didapati lama menyepi daripada IG sejak 2 Mei lalu selepas berdepan perbicaraan kes tuntutan hak penjagaan dua anaknya yang difailkan oleh Hafidz di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Shuhada bagaimanapun akhirnya mendapat hak penjagaan penuh anaknya atau hadanah. Dia berdepan tuntutan daripada Hafidz yang mendakwa sangat merindukan kedua cahaya mata mereka kerana sudah lama tidak berjumpa.
Terdahulu, Shuhada bersama Humairah dan Umar, 5 berhijrah ke Melbourne, Australia pada Julai 2024 kerana mendapat peluang menyambung pengajiannya di sebuah universiti di sana.
Hafidz dan Shuhada pernah berkahwin pada 30 April 2016 di Perlis, namun mereka sah bercerai pada 24 Februari 2023 selepas tujuh tahun hidup bersama.
Sementara itu, Hafidz juga sudah berkahwin kali kedua dengan wanita pilihannya, Athira Yuhada yang juga cinta pertama sejak berusia 15 tahun pada Disember 2023 dan kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.