JIKA penyanyi lain sibuk mengadakan ‘showcase’ dan konsert, penghibur ini jarang mengadakan persembahan atas pilihannya sendiri.
Justeru, pastinya konsert Dia Misha Omar sangat dinanti-nantikan peminat setia yang mengikuti perjalanan seni anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang sudah mencecah lebih dua dekad itu.
Maka tidak hairan, konsert Dia Misha yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur dibanjiri kira-kira 4,000 peminat setia yang menyokong karier seninya sejak dulu hingga kini.
Konsert Dia Misha bukan sahaja berjaya memukau peminat, malah Misha juga dapat melunaskan janjinya kepada peminat dan menjadi titik perjalanan fasa baharu penghibur berkenaan.
Dalam ucapannya, Misha atau nama sebenarnya, Samihah @ Aisah Omar, 43, mengakui konsert itu tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada peminat setia.
“Sedar tak sedar, perjalanan karier nyanyian saya sudah berjalan selama 23 tahun dan terima kasih juga kerana masih setia bersama saya,” kata pemenang tiga kali kategori vokal terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) itu.
Pastinya, konsert itu menjadi malam paling diingati peminat kerana Misha menyampaikan rangkaian 21 lagu balada dengan sepenuh jiwa.

Alunan suaranya ketika menyampaikan setiap lagu menusuk ke hati kerana dia menyanyi dengan penuh penghayatan dan kematangan, sekali gus meletakkannya dalam kelompok antara penghibur terbaik tanah air.
Antara rangkaian lagu hit yang disampaikan termasuk lagu runut bunyi filem seperti Pulangkan, Ku Seru, Bunga-Bunga Cinta, Sampai Bila serta Cinta Adam & Hawa yang menjadi siulan peminat hingga hari ini.
Selepas tampil sebagai hos ketika ‘showcase’ Misha Back To Basic hingga tular tahun lalu, Misha sekali lagi menampilkan anaknya, Muhammad Idris Ezzwa, 9, di pentas menerusi lagu duet Destiny, sekali gus mencuri perhatian penonton.

Tribute buat mentor, Adnan Abu Hassan
Sebagai anak didik, Misha turut memberi penghargaan buat komposer dan mentornya iaitu Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan yang menggilap bakatnya selepas menyertai pertandingan Bintang RTM pada 2001.
Misha menyampaikan tiga lagu ciptaan Allahyarham Adnan pada malam itu iaitu Jerat Percintaan (dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza), Gubahan Rindu Puisi Syahdu (Fauziah Latiff) dan Renungan Terakhir (Datuk Nora Ariffin).
“Saya tak menang pun pada pertandingan akhir Bintang RTM, tapi arwah abang Adnan percaya pada bakat nyanyian saya.
“Arwah beri nombor telefonnya dan dia cakap kalah atau menang, dia minta saya hubungi menerusi nombor yang diberikan itu.
“Arwah abang Adnan yang buat demo lagu dan bawa saya ke banyak syarikat rakaman ketika itu,” katanya yang mula menyanyi ketika berusia 19 tahun.

Tirai konsert dimulakan dengan lagu Bunga-Bunga Cinta dan medley Hati Keliru dan Terpana untuk persembahan pembukaan pada malam itu.
Rangkaian lagu balada lain yang disampaikan ialah Halaman Cinta, Sembunyi, Lilitan Asmara, Tanpa Rela, Nafas Cahaya, Angin Syurga, Terimaku Seadanya, Permainan Hati, Untuk Bermimpi, Dedebu Cinta, Sampai Di sini dan Masihkah Ada Rasa Itu.
Tidak ketinggalan, dia menyampaikan single terbaharunya yang membuat ramai peminat galau berjudul Break.
Persembahan Misha menampilkan barisan pemuzik pengiring di bawah pimpinan penerbit konsert, Jennifer Thompson, pengarah muzik, Lee Sze Wan serta pengarah vokal, Syafinaz Selamat.
Konsert ini dibawakan oleh penganjur, Double M Production dengan kerjasama Altus Prohouse.

Barisan artis terkenal yang hadir memberi sokongan ialah Anuar Zain, Sherry Al Hadad, Scha Al Yahya, Awal Ashaari, Ernie Zakri, Syamel, Datuk Fazley Yaakob dan Hasif Upin.