Isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, meluahkan rasa syukur dan lega selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengesahkan hak penjagaan ketiga-tiga anak mereka berpihak kepadanya.
Bercakap kepada OhBulan!, Dr. Afifah berkata dia amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh suaminya dalam menyelesaikan proses hadanah, selain menegaskan bahawa anak-anak sentiasa menjadi keutamaannya.
Mengimbau detik cemas menantikan keputusan, Dr. Afifah mengakui dirinya berada dalam keadaan gementar sebelum keputusan rasmi diumumkan.
Alhamdulillah rasa sangat bersyukur. Sebelum hari ini memang ada juga rasa risau tetapi selepas hakim sahkan saya peroleh hak penjagaan anak, rasa lega dan terharu. Saya cuma nak pengesahan daripada mahkamah, itu saja yang penting.
Terima kasih kepada semua yang mendoakan, beri sokongan dan juga nak ucapkan terima kasih juga kepada pihak Nubhan sebab banyak memberi kerjasama untuk selesaikan hak jagaan anak
Apa-apa pun keutamaan saya ketika ini memang anak-anak dan akhirnya mereka kembali kepada saya.
Dr. Afifah ditemui sejurus prosiding tamat, dan tidak dapat menyembunyikan rasa syukur apabila hak penjagaan anak-anak akhirnya dimuktamadkan.

Untuk rekod, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad sebelum ini memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap Dr. Afifah di Mahkamah Syariah Sepang, sebelum memfailkan tuntutan hak penjagaan penuh di Shah Alam.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, Ahmad Aaffan dan Afzan Nayille.