KUALA LUMPUR: Penerbit telefilem Ayah, Datuk A Aida, menyifatkan pemergian pelakon veteran, Allahyarham Dharma Harun Al Rashid, sebagai kehilangan besar buat industri kreatif tanah air.

A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang berkata, walaupun reda dengan ketentuan Ilahi, beliau tetap bersyukur kerana sempat menggembirakan Allahyarham serta membantu meringankan sedikit bebanan hidupnya pada penghujung usia.

Allahyarham Dharma di set penggambaran telefilem Ayah, antara projek terakhir sebelum pemergiannya. - Foto NSTP/Aziah Azmee
Allahyarham Dharma di set penggambaran telefilem Ayah, antara projek terakhir sebelum pemergiannya. – Foto NSTP/Aziah Azmee

Menurutnya, beliau sebenarnya sudah merancang enam projek drama baharu bersama Dharma bermula Januari depan, namun perancangan itu tidak sempat direalisasikan.

“Saya sudah merancang enam lagi telefilem dengan arwah bermula Januari depan, satu naskhah setiap bulan selama enam bulan.

“Bila arwah masuk ke set, saya boleh nampak kegembiraan yang terpancar pada wajahnya. Arwah seolah-olah lupa segala kesakitannya apabila dapat bekerja.

“Saya faham kerinduan dan keterujaan seorang anak seni apabila sudah lama meninggalkan dunia yang mereka cintai,” katanya kepada BH Online.

A Aida berkata, walaupun sedih menerima berita pemergian Allahyarham, beliau puas hati kerana sempat memberi kegembiraan kepada pelakon legenda itu, yang berdepan tekanan hidup dan masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu.

“Pada saya, itu saja cara yang saya mampu lakukan untuk menggembirakan arwah.

“Set penggambaran adalah tempat yang mengembalikan semangat dan senyumannya. Saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya dapat memberi sedikit kebahagiaan sewaktu arwah berada di set Ayah,” katanya.

Dharma dilapor meninggal dunia sendirian di kediamannya, di sini, malam tadi.

Allahyarham meninggalkan dua cahaya mata, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 36; dan Siti Qurratu Aini, 37.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *