Kebiasaannya penganjur karnival atau festival akan menggunakan populariti artis terkenal bagi menarik kehadiran pengunjung bagi memeriahkan program sekali gus mencapai sasaran ditetapkan.

Bagaimanapun, penganjur GF GALAU Food Festival (GFF) tampil berbeza apabila membuka peluang kepada artis-artis lama sepenuhnya untuk terbabit dalam program mereka.

Festival yang bakal berlangsung dari 27 hingga 31 Disember ini di Setia Alam Convention Centre, Selangor menampilkan artis seperti Kristal, Ways, Exceed, Keena Mentor dan Arca Band.

Pengurus Acara Gold Field Holding Sdn Bhd, Azlisham Yusof berkata, pihaknya membuka peluang kepada artis-artis berkenaan untuk mencari rezeki dalam industri selain mengembalikan nostalgia.

“Motif kita mengambil artis-artis ini kerana nakkan nostalgia lama.

Bukan tak nak berkolaborasi dengan artis-artis baru, tetapi ini event yang pertama maka jadi percubaan yang pertama.

“Kami juga nak beri peluang kepada mereka kerana nak beritahu kepada masyarakat, bahawa mereka masih lagi ada dalam industri hiburan,” katanya.

Katanya, selain persembahan artis setiap malam, terdapat pelbagai program menarik seperti jualan makanan dan pameran produk sekali gus bersesuaian untuk aktiviti keluarga.

“Kami akan mengadakan pertunjukan bunga api pada malam tahun baharu dan pengunjung cabutan bertuah boleh membawa pulang hadiah berupa dua motosikal elektrik,” katanya.

Sementara itu, Ann Ways serta barisan artis lain berbesar hati dengan peluang yang diberikan kepada mereka.

“Saya berterima kasih kepada penganjur kerana sering undang saya dan rakan artis otai untuk terbabit dalam program mereka. Kami sudah kenal satu sama lain.

“Insya-Allah kami akan buat yang terbaik untuk balas kepercayaan yang diberikan. Kami akan ‘galau’ penonton yang hadir pada malam itu,” katanya.

Bagi Rody Kristal pula, mereka menjanjikan persembahan terbaik buat pengunjung yang hadir.

“Kristal akan tampilkan lagu-lagu nostalgia kami selain lagu yang pernah dipopularkan oleh Wings dan Search.

“Kita mempunyai koleksi lagu galau tempatan dan akan nyanyi khas buat peminat,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *