Kuala Lumpur: “Saya tidak kisah menang atau tidak kerana bagi saya, kemenangan itu cuma ilusi, yang penting adalah hubungan sesama kita.”
Itulah reaksi pelakon Amir Ahnaf sebaik diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pelakon Lelaki Harapan di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), kelmarin menerusi filem Kahar: Kapla High Council.
Watak Kahar bukan sahaja memperkenalkan wajah segar dalam industri, malah menjadi simbol kepada generasi baharu pelakon yang berani mencuba sesuatu di luar kebiasaan.
“Sejujurnya, saya tidak kisah sama ada saya menang atau tidak. Sejak dari awal, saya percaya kejayaan Kahar itu tidak akan terjadi tanpa kehadiran Fadhli Masoot sebagai Hakeem.
“Dia banyak membantu saya memahami karakter Kahar, dari segi emosi dan jiwa. Jadi bila saya dipanggil naik ke pentas, saya tahu saya tidak layak berdiri seorang diri, sebab itu saya ajak Fadhli naik bersama,” katanya.
Berbeza dengan ramai pelakon muda yang melihat anugerah sebagai lambang pengiktirafan, Amir mempunyai pandangan yang lebih matang.
“Apa yang lebih penting ialah ‘symbiosis’, hubungan baik dan silaturahim antara kita semua dalam industri.
“Saya gembira bila ramai pelakon muda dicalonkan dalam kategori yang sama kerana itu tanda industri kita sedang berkembang.
“Kita semua sedang berusaha memajukan perfileman Malaysia ke tahap lebih tinggi. Ini hanyalah permulaan. Saya masih muda dan banyak perkara yang saya perlu pelajari.
“Saya tak mahu terlalu terbuai dengan kemenangan. Dalam hidup, kita selalu diajar supaya jangan terlalu berharap, tetapi harapan itu tetap ada dalam diri saya untuk menjadi lebih baik, untuk memberi yang terbaik kepada penonton,” katanya.
Memenangi anugerah pastinya datang bersama harapan besar daripada peminat, industri dan diri sendiri, namun Amir memilih untuk menganggapnya sebagai satu perjalanan, bukan beban.
“Saya tahu ramai yang melihat anugerah ini sebagai tanggungjawab besar. Tapi bagi saya, tanggungjawab itu indah bila kita letakkan dengan niat yang betul.
“Saya mahu terus belajar, memperbaiki diri, dan mencari ruang untuk menjadi pelakon yang lebih berdisiplin serta matang dalam setiap watak,” katanya.