KUALA LUMPUR: Malam penuh emosi menyelubungi Konsert Di Sebalik Aku: Hafiz Suip apabila penyanyi itu gagal menahan sebak tatkala kedua-dua ibu bapanya membuat kemunculan istimewa di atas pentas ketika persembahan berlangsung di Megastar Arena, di sini, malam tadi.

Suasana bertukar pilu apabila bapanya, Mohd Suip Mohamad, menyorong kerusi roda isterinya, Halizawati Salleh, sambil disambut tepukan gemuruh penonton yang turut tersentuh dengan momen penuh kasih itu.

Lebih mengharukan, kemunculan pasangan berkenaan berlaku sewaktu Hafiz sedang mendendangkan lagu penuh makna, Pelangi Petang, nyanyian asal Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, yang sering dikaitkan dengan nilai kasih, rindu dan penghargaan terhadap insan tersayang.

Hafiz dan Adira menghangatkan pentas menerusi persembahan duet penuh emosi menerusi lagu Ombak Rindu.- Foto Ihsan SAH Entertainment
Hafiz dan Adira menghangatkan pentas menerusi persembahan duet penuh emosi menerusi lagu Ombak Rindu.- Foto Ihsan SAH Entertainment

Sebaik menyedari kehadiran mereka, pemenang trofi Penyanyi elaki Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) tiga kali berturut-turut itu segera meninggalkan posisi persembahan lantas mendakap kedua-dua ibu bapanya dengan erat yang mengundang linangan air mata dalam kalangan penonton.

Mengulas detik berharga itu, Hafiz mengakui kemunculan ibu bapanya di atas pentas menjadi antara kenangan paling manis dan bermakna sepanjang bergelar anak seni.

“Saya memang bawa emak dari Kuching ke Kuala Lumpur, tetapi saya tidak tahu penganjur merancang membawa orang tua saya naik ke pentas.

“Ia memang satu kejutan. Saya rasa sedih dan terharu apabila insan yang saya sayang hadir ke konsert saya. Tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan itu… Ia momen yang sangat berharga buat saya,” katanya ditemui selepas konsert anjuran SAH Entertainment berakhir.

Penonton turut dihiburkan dengan deretan lagu popularnya seperti Bahagiamu Deritaku, Awan Nano, Noktah Cinta, Masih Jelas, Matahari dan Terus Bersinar, selain beberapa karya baharu yang dipersembahkan dengan susunan muzik segar.

Malam berkenaan turut menyaksikan kejutan istimewa apabila Hafiz berduet bersama Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid, menerusi lagu Ku Akui.

Konsert berdurasi dua jam itu juga menampilkan dua artis jemputan istimewa, Adira dan Umairah, yang masing-masing memukau penonton dengan persembahan vokal bertenaga dan harmoni tersendiri.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *