Kuala Lumpur: Penyanyi dangdut, Amelina, 51, lebih rela tidak berkahwin baharu dan terus hidup menjanda jika perlu berkongsi kasih dengan suami orang.
Amelina atau nama sebenarnya, Norazlina Amir Sharipuddin berkata, selama menjalani kehidupannya sebagai ibu tunggal bersama anak-anak, dia lebih selesa bersendirian.
“Saya tidak menutup pintu hati untuk jodoh baharu. Tapi, tak mahulah kalau lelaki itu suami orang dan sudah berkeluarga. Saya tak nak jadi ‘orang ketiga’ dalam rumah tangga wanita lain.
“Saya lebih rela undur diri walaupun sebenarnya ramai datang nak berkawan itu adalah suami orang. Kebanyakannya memang kacak dan ekonomi pun kukuh, tapi saya yang tidak mahu masalah di kemudian hari.
“Ada juga lelaki duda dan bujang cuba mendekati saya, tetapi cara mereka mungkin tak sampai ke hati. Saya pula wanita manja, jadi perasaan itu mudah hilang kalau rasa ada yang tak kena,” katanya.
Terdahulu, Amelina ditemui hadir pada sidang media pengumuman Konsert Inul Daratista Live in Malaysia Millenial Dangdut Nusantara yang akan berlangsung di Pulau Pinang, 6 Disember depan.
Ditanya penerimaan enam anaknya jika dia mahu berkahwin baharu, Amelina berkata, anak-anak tidak menghalang kerana mereka semua sudah besar.
“Cuma saya saja sekarang banyak tundukkan pandangan supaya tidak tergoda dengan mana-mana lelaki. Mungkin kerana saya sudah selesa hidup solo.
“Lagipun selama saya jadi ibu tunggal, fokus saya memang sepenuhnya kepada anak-anak. Namun, apabila mereka kini sudah dewasa, timbul pula rasa rendah diri nak cari teman baharu.
“Walaupun anak-anak beri saja saya ‘green light’ untuk bercinta. Tetapi saya yang nak mengorat pun tak pandai. Mungkin sebab saya tak fikir sangat nak berkahwin semula,” katanya.
Sebelum ini, Amelina pernah ‘hilang’ dari radar industri seni selepas mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya, Reduan Mahamood pada 26 April 1999.
Bagaimanapun, jodoh mereka tidak panjang apabila bercerai selepas 16 tahun hidup bersama. Kini, Amelina juga sudah 10 tahun aktif semula dalam karier nyanyian.