Kuala Lumpur: Penyanyi Nadeera, 32, dipilih RTM untuk mewakili negara ke acara berprestij ABU (Asia-Pacific Broadcasting Union) Song Festival 2025 yang berlangsung Sabtu ini, di Tsonjin Boldog, Mongolia.
Nadeera atau nama sebenarnya Farah Nadeera Zaini berkata, pemilihannya itu satu pencapaian penting kerana kepercayaan tinggi pihak RTM terhadap bakat, kemampuan serta aura bintangnya.
“Pemilihan pihak RTM ini satu penghormatan besar buat saya. Saya sangat terharu diberitahu bahawa saya bakal membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa untuk acara itu.
“Di pentas itu, saya bukan sekadar Nadeera tapi anak Malaysia. Setiap nota saya nyanyikan nanti adalah doa, harapan dan juga kebanggaan kita bersama. Insya-Allah, saya akan berikan persembahan terbaik,” katanya.
Nadeera bakal mendendangkan lagu hitnya, Bukan Lagi Kita yang melonjakkan namanya sebagai antara penyanyi memiliki vokal terbaik generasinya di acara itu nanti.
Menurutnya, dia bangga dapat membawakan lagu sendiri sekali gus memperkenalkan karya tempatan ke mata dan telinga khalayak antarabangsa.
“Lagu Bukan Lagi Kita sangat dekat di hati saya dan pendengar, jadi saya mahu nyanyikannya dengan seluruh jiwa, sebagai hadiah buat semua.
“Saya amat berbangga kerana dapat mewakili Malaysia di pentas dunia. Setiap kali melangkah ke luar negara, saya membawa semangat dan harapan peminat di tanah air,” katanya.
Walaupun ini bukanlah kali pertama Nadeera menjejakkan kaki di pentas luar negara, di mana sebelum ini dia pernah membuat persembahan di Vietnam dan Indonesia.
Namun, penyanyi naungan Rockefuel Entertainment itu mengakui peluang kali ini membawa makna yang jauh lebih besar.
“Kali ini lebih istimewa kerana saya tampil di festival berskala antarabangsa bersama artis-artis hebat dari seluruh Asia. Saya harap dapat mengharumkan nama negara dengan cara yang tersendiri.
“Terima kasih RTM atas kepercayaan ini, Rocketfuel atas sokongan tanpa henti, pasukan produksi, pemuzik dan semua peminat yang menjadi tulang belakang saya.
“Doakan perjalanan ke Mongolia dipermudahkan dan persembahan nanti menyentuh hati sesiapa yang menonton,” katanya.
ABU Song Festival adalah acara gala tahunan tanpa pertandingan yang dianjurkan oleh Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU). Festival ini menampilkan persembahan lagu atau instrumental oleh pemuzik dari seluruh rantau Asia.
Negara-negara yang mempunyai keahlian penuh atau tambahan ABU dijemput untuk menghantar penyertaan bagi dipersembahkan secara langsung di hadapan penonton.
Acara itu turut dirakam secara langsung bagi membolehkan penyiar kebangsaan menambah sari kata dalam bahasa masing-masing untuk siaran domestik.