KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Ku Fridah Ku Shafie, 73, kini hanya mampu terbaring dan duduk sejak patah tulang pada bahagian leher serta bahu akibat terjatuh dalam bilik air di rumahnya, dua bulan lalu.
Susulan insiden itu, keadaan Ku Faridah atau lebih dikenali sebagai Mak Engku masih belum pulih sepenuhnya, malah pergerakannya juga terbatas.
Anak bongsu, Siti Rohayu Mohd Yusoh, berkata ibunya memerlukan bantuan anak-anak untuk mengurus diri, namun dari segi pertuturan masih baik.
“Mak Engku memang perlukan bantuan anak untuk menguruskannya, dia belum boleh lakukan sendiri. November lalu, hampir 20 hari Mak Engku ditahan di wad dan sekarang masih belum boleh berjalan.
“Dia hanya duduk dan terbaring dan mengurus diri dengan bantuan anak-anak, itu sahaja yang boleh buat dilakukan ketika ini.
“Dia tinggal bersama dua kakak saya yang bantu menguruskannya. Alhamdulillah, Mak Engku boleh bertutur seperti biasa, cuma keadaan fizikalnya sahaja agak lemah,” katanya kepada BH Online.
Siti Rohayu berkata, sejak terlantar, sesekali ibunya meluahkan rasa rindu untuk bertemu rakan.
“Mak Engku ada cakap, rindu berlakon selepas sekian lama berehat di rumah, sebab itu juga adalah hiburannya. Bidang lakonan tempat Mak Engku cari makan selepas berpuluh tahun menjadi pelakon.
“Tapi sebenarnya dia lebih mahu berjumpa kawan-kawan di set penggambaran atau kembali bekerja, bukan mahu ‘job’ semata-mata, tapi mahu jumpa orang sekeliling seperti sebelum ini,” katanya.

Pada masa sama, Siti Rohayu bersyukur tiada penggambaran tertangguh disebabkan insiden menimpa ibunya itu.
“Alhamdulillah, tiada penggambaran tertangguh atau perlu dibatalkan. Saya bersyukur Mak Engku sempat habiskan semua penggambaran sebelum kejadian berkenaan.
“Insiden ini juga selepas Mak Engku balik daripada mengerjakan umrah di Tanah Suci. Setakat ini, tiada sebarang penggambaran tertunda, semuanya selesai,” katanya.
Berkongsi bagaimana insiden berlaku, Siti Rohayu berkata, Mak Engku kemungkinan hilang keseimbangan kerana masalah tulang yang rapuh.
“Insiden terjatuh sebab Mak Engku tiba-tiba hilang keseimbangan badan. Kami fikir, insiden ini disebabkan tulangnya sudah rapuh dalam usia sudah lanjut ini.
“Bila masuk hospital, doktor ambil air tulang sum-sum sebab mahu kenal pasti kenapa tulangnya rapuh. Sekarang, Mak Engku masih perlu buat rawatan susulan dan ada banyak janji temu dengan doktor,” katanya.
November lalu, Mak Engku dirawat di Hospital Sungai Buloh kerana patah tulang pada bahagian leher dan bahu beralih selepas terjatuh dalam bilik air di rumahnya.