Kuala Lumpur: Gugur air mata pelakon, Tracie Sinidol, 24, apabila berkongsi pengorbanannya menjadi anak perantau di kota besar jauh dari keluarga tercinta di Sabah.
Tracie gagal menahan sebak apabila mengenang kembali pemergian neneknya tahun lalu.
Menurutnya, dia sangat ralat kerana tiada di sisi ketika neneknya menghembuskan nafas terakhir.
“Detik paling mencabar adalah ketika saya menjalani satu penggambaran di dalam hutan, saya dapat berita nenek berada dalam keadaan tenat.
“Paling sakit hati, saya nak sangat pulang ketika itu tapi tiada tiket penerbangan. Saya masih ingat lagi, perasaannya teramat menyakitkan. Kalaulah boleh pandu kereta, saya sudah memandu pulang.
“Ada banyak yang terlepas. Kehilangan orang tersayang, terlepas lihat adik-beradik membesar,” katanya.
Juara Dewi Remaja 2021/2022 berasal dari Tambunan, Sabah itu mengakui bukan mudah tatkala berdepan saat tersepit antara komitmen dan keinginan besar berada di sisi keluarga.
Hakikatnya, dia masih bergelut untuk menjadi seorang yang kental hati tanpa ingin susahkan hati keluarga di kampung.
“Masih mencuba sekuat yang boleh. Banyak tidak tahu pergelutan saya di sini dan saya tidak mahu tayangkannya kepada umum. Saya berusaha menyimpannya rapi untuk diri sendiri saja.
“Saya cuba jadi kuat untuk keluarga tercinta. Saya tak sanggup keluarga risaukan jika saya susah di sini. Saya cuma mahu buat yang terbaik supaya keluarga tiada kerisauan untuk saya,” katanya.