PENANTIAN lebih dua dekad peminat setia kumpulan nasyid kontemporari, UNIC, untuk menyaksikan konsert solo penuh terbalas dengan penganjuran This Is UNIC: Live In Concert yang berlangsung dengan penuh emosi di Idea Live Arena, baru-baru ini.

Dianjurkan oleh Triple Am Global, konsert ini bukan sahaja menjadi medan hiburan malah acara yang membuktikan irama nasyid masih relevan dan mempunyai tempat yang kukuh dalam arus perdana.

Membuka tirai dengan lagu Hanyut, UNIC yang dianggotai oleh Bazli Hazwan, Dr Fitri Haris dan Fakhrul Radhi terus membuai perasaan penonton dengan rangkaian lagu hit awal kemunculan mereka seperti Balqis, Remaja dan Sebuah Pertemuan.

Menurut Bazli, malam itu disifatkan sangat peribadi kerana ia mengimbau kembali jerih perih perjalanan seni mereka.

“Apabila kami menyanyikan lagu lama seperti Balqis dan Remaja, kami seakan-akan kembali ke titik awal perjalanan UNIC.

“Melihat penonton menyanyi bersama membuktikan bahawa lagu ini masih hidup dan bermakna hingga hari ini,” katanya.

Suasana di Idea Live Arena bertukar hening seketika apabila konsert beralih ke segmen kerohanian.

Lagu yang menyentuh jiwa seperti Hakikat Bahagia, Doa Dhuha, Anak Soleh dan Qunut Nazilah dipersembahkan dengan penuh penghayatan, membawa mesej dakwah yang mendalam.

KONSERT solo UNIC lakar sejarah, gamit memori indah dua dekad.
KONSERT solo UNIC lakar sejarah, gamit memori indah dua dekad.

Bagi Fitri, segmen ini adalah teras sebenar perjuangan seni UNIC sejak awal kemunculan mereka, sehingga ke hari ini.

“Nasyid bukan sekadar muzik. Ia adalah medium untuk mengajak, menyentuh dan mengingatkan.

“Apabila seluruh dewan diam dan menghayati lagu seperti Doa Dhuha, itu adalah momen yang sangat menyentuh hati,” katanya.

Kemuncak konsert bergema dengan sorakan gemuruh apabila lagu ‘wajib’ iaitu Hanya Tuhan Yang Tahu, Demi Cinta Suci dan Ainul Mardhiah didendangkan.

Sementara itu, Fakhrul pula menyifatkan nyanyian beramai-ramai ribuan penonton sebagai satu penghargaan yang tidak ternilai buat mereka bertiga.

“Itu bukan sekadar persembahan, itu adalah perkongsian rasa,” katanya.

Konsert yang turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa Naufal Isa dan penyanyi legenda, Nizam Laksamana.

Turut hadir memberikan sokongan di tempat duduk penonton antaranya Datin Seri Umie Aida dan Zizi Kirana.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *