Kuala Lumpur: “Saya terkejut bila dapat tahu lagu itu tular kerana ketika menyanyikan lagu itu, saya baru berusia 16 tahun,” kata pelakon, Yana Samsudin, 41, ketika diminta mengulas lagu runut bunyi (OST) filem Mami Jarum dendangannya kini tular di TikTok.

Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin berkata, ramai yang tidak tahu dia adalah penyanyi lagu OST filem Mami Jarum itu kerana namanya lebih dikenali dalam bidang lakonan.

“Baguslah jika peminat masih ingat kerana saya pun tidak beritahu orang sayalah penyanyi asal lagu OST itu.

“Saya menyanyi lagu OST itu ketika berusia 16 tahun dan lagu yang diterbitkan MIG Records itu masih diingati peminat walaupun sudah lebih 20 tahun berlalu,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya komen peminat di TikTok yang mencadangkannya untuk menyertai program realiti popular Gegar Vaganza (GV) pula, kata Yana, dia belum terfikir ke arah itu.

“Setakat ini, saya belum terima tawaran lagi untuk sertai program GV.

“Kalau ada tawaran, mungkin saya akan pertimbangkan tetapi perlu minta izin dari suami terlebih dulu.

“Saya juga perlu berbincang dengan produksi membabitkan jadual dan sebagainya,” kata isteri pelakon Fadzil Zahari itu.

Berbeza dengan program realiti The Masked Singer Malaysia yang pernah dijayakan sebelum ini, kata Yana, ia tidak membabitkan masa yang panjang.

“Dalam program The Masked Singer itu, pihak produksi beri lagu dan kita berlatih selama dua hari dan persembahan pula pada sebelah malamnya,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.

Terdahulu, perkongsian video lagu OST filem Mami Jarum dendangan Yana yang dimuat naik seorang pemilik akaun tular di TikTok.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *