Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Linda Rafar, 47, berjaya dipujuk Norman KRU untuk terus kekal bersama kumpulan Elite.
Menerusi hantarannya di Instagramnya, Linda atau nama sebenar Azlinda Abdul Rafar, menyatakan rasa syukur atas keputusan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan agar dia terus bersama kumpulan itu.
“Terima kasih Allah SWT dan semua yang mendoakan Linda terus kekal bersama kumpulan Elite,” tulisnya.
Norman Abdul Halim dari KRU, yang juga penerbit, disebut sebagai individu utama yang berjaya memujuk Linda agar tidak meninggalkan Elite.
“Pada mereka yang belum tahu, perkenalan Linda dengan abang Norman sejak tahun 1995 hampir 30 tahun dan ini bukan sesuatu yang mudah bagi saya untuk membuat keputusan terburu-buru. Puas dan penat juga abang long untuk memujuk saya,” tulisnya di akaun Instagramnya.
Menurut Linda, hubungan dia dengan Norman sudah terjalin sejak 1995, malah Norman sering menjadi penenang ketika dia menghadapi masalah dalam kerjaya.
“Ya, memang betul sejak saya berumur 16 atau 17 tahun lagi jika saya ada masalah, yang berjaya pujuk saya adalah abang long.
“Maklumlah dalam kumpulan elite saya yang paling muda dan paling manja betul tak ?,” tulisnya lagi.
Menurut Linda, sehingga kini dia adalah seorang yang sensitif dan cepat terasa tetapi mudah memaafkan orang.
“Sebab itu, sehingga kini masih tidak hilang naluri seorang yang sangat sensitif dan cepat terasa tetapi sangat mudah untuk memaafkan sesiapa sahaja,” tulisnya.
Linda turut meluahkan penghargaan kepada rakan-rakan dalam kumpulan Elite iaitu Watie, Sasha dan Azza yang menemani sesi perbincangan dan pemujukan semalam.
Linda turut meminta orang ramai agar mendoakan yang baik-baik sahaja supaya konsert GenKRU nanti dapat dijayakan dengan baik.
“Tolong doakan yang baik-baik untuk semua yang akan menjayakan konsert GenKRU,” tulisnya di ruang kapsyen hantarannya itu.
Meninjau ke dalam ruangan komen, netizen turut gembira dengan perkhabaran itu.
“Kak Linda jangan keluar Elite lagi tau. Kami nak Elite buat konsert lagi,” tulis netizen.
“Yeay, Elite Forever! Akak suka line up yang asal,” tulis warganet.
Terdahulu, Linda mengejutkan peminat apabila memberi gambaran mahu menarik diri dari Elite selepas berdepan ujian yang dikaitkan dengan kesihatan mental.