Bukan hanya penyanyi sahaja mendapat jolokan, namun Yank Kassim yang menyerlah dengan watak antagonis dan aksi dalam drama serta filem juga mempunyai ‘jolokan’ tersendiri.
Yank, 59, memaklumkan dia pernah mendapat jolokan sebagai ‘Sammo Hung Malaysia’ yang dilabel oleh wartawan hiburan apabila melaporkan kisah watak lakonannya yang menjurus aksi.
“Saya tidak kisah pun ada jolokon atau tidak. Sebab, macam saya pernah cakap, saya ini ‘low profile’, dan biar produk lakonan yang ‘berbicara’. Jadi, bila dapat jolokan ‘Sammo Hung Malaysia’ daripada wartawan, ia satu penghargaan.
“Apatah lagi, saya adalah pelakon berbadan besar yang boleh melakonkan aksi-aksi lasak. Antaranya, saya boleh kena rembat, buat ‘backflip’, jatuh tergolek sana sini dan jatuh tangga.
“Jadi, dikirakan saya ini memang boleh buat apa-apa sahaja aksi lasak, walaupun berbadan besar tetapi boleh melambung-lambung. Maka, kalau di Hong Kong, saya ibarat seperti Sammo Hung.
“Dia (Sammo Hung) adalah pelakon Cina popular pada era Jackie Chan dulu. Memang badannya besar, tetapi hebat dalam kung fu. Jadi, merasa jugalah saya dapat jolokan daripada wartawan,” katanya.
Ujar Yank atau nama sebenar Yusof Mohamed Kassim ini, selain dilabel ‘Sammo Hung Malaysia’, dia juga menerima satu lagi jolokan baharu iaitu ‘Ma Dong-seok atau Don Lee Malaysia’.
“Mungkin saya pun sedikit bermata sepet. Cuma, yang ini adalah pelakon terkenal Korea Selatan dan popular dengan filem Train to Busan.
“Dia (Don Lee) ini pun hebat juga orangnya dalam babak aksi. Apapun, jolokan ini (Don Lee Malaysia) saya dapat ketika menjalani ‘casting’ (uji bakat) untuk filem Tamil dan Arab, yang nama wataknya pun sebagai Don Lee.
“Jadi, melekatlah ‘Don Lee Malaysia’ itu. Namun, yang pasti dari dulu sampai sekarang, watak-watak saya dapat semuanya jadi ‘jahat’. Memang bermacam watak penjahat sudah saya buat,” katanya.

Yank berkata, walaupun kini ramai bakat-bakat baharu lakonan yang muncul, tetapi dia sangat bersyukur apabila masih lagi mampu bertahan untuk sentiasa menjadi pilihan pengarah dan penerbit.
“Sebenarnya, kira-kira 90 peratus watak yang saya lakonkan selama jadi pelakon adalah jahat. Kalau mulanya watak itu macam baik-baik, tetapi di penghujung cerita tetap mencerminkan jahat. Malah, apa-apa pun kena ada aksi.
“Terima kasih kepada pengarah dan penerbit kerana yakin dengan bakat saya untuk watak jahat dan sebagai pelakon lagak ngeri juga yang mahir melakukan aksi-aksi lasak sendiri,” katanya.
Yank juga dilantik memegang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Profesional Lagak Aksi Malaysia (PROMASTA) yang mempunyai ahli berdaftar seramai lebih 150 orang.
PROMASTA sudah ditubuhkan 13 tahun lalu, Yank memaklumkan aktiviti persatuan seperti menganjurkan kursus ‘stunt’ (aksi lagak ngeri) serta program Kem Belia Kreatif yang memperkenalkan lagak aksi dalam penerbitan filem.
Turut diadakan, program Jalinan Kasih Anak Seni yang menghulur sumbangan kepada ahli cedera dan menyediakan sijil pengiktirafan latihan kepada ahli terlatih.
Bagi perancangan PROMASTA akan datang, Yank berkata, antaranya menaik taraf kebajikan dan keselamatan ahli ‘stunt’ Malaysia, perlindungan insurans, memohon Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk dana aksi bagi membantu ahli dapat bayaran setimpal serta cadangan penubuhan Akademi Stunt Malaysia.