Pengiktirafan berasaskan bakat dan kualiti sentiasa mempunyai nilai yang berbeza buat seorang anak seni.
Bagi pelakon, Nad Zainal, penilaian daripada barisan juri profesional satu kepuasan tersendiri dan impian yang diidamkan setiap pelakon dalam industri lakonan tanah air.
Menurut Nad, dia sama sekali tidak menafikan kepentingan anugerah kategori populariti memandangkan dirinya sendiri pernah merangkul anugerah Pelakon TV Wanita Popular itu pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2014.
Bagaimanapun, kedua-dua elemen iaitu populariti dan penilaian juri perlu bergerak seimbang demi kelangsungan kerjaya yang kukuh.
“Saya pernah memenangi anugerah popular, jadi saya tidak berniat menafikan atau menganggap anugerah populariti itu tidak penting. Hakikatnya, kedua-duanya perlu seimbang.
“Namun, perasaan gembira dan puas itu pasti lebih bermakna sekiranya bakat kita dinilai serta diiktiraf oleh juri profesional. Pengiktirafannya terasa lebih bernilai.
“Sokongan peminat memang amat penting, tetapi pengiktirafan juri profesional inilah impian yang didambakan setiap pelakon,” jelasnya.
Mengulas mengenai fenomena kemasukan pelakon baharu yang dilihat lebih mengejar populariti serta mengabaikan kelas lakonan demi mengejar jumlah pengikut, Nad mengambil pendekatan terbuka dan tidak mahu menghukum semua pihak secara melulu.
Nad berkongsi bahawa dia dan suaminya, Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz, pernah melalui fasa kemuncak pada usia muda dahulu.
Tambahnya, ramai bakat muda hari ini yang tetap membuktikan keupayaan lakonan yang baik meskipun tidak melalui pembelajaran lakonan secara formal.
“Kita tak boleh memukul rata semua pendatang baharu kerana ada sahaja artis muda masa kini yang benar-benar berbakat besar. Sebagai contoh, Ungku tidak menghadiri kelas lakonan formal seperti saya, namun bakat lakonannya sangat baik.
“Pada usia muda, keberadaan mereka mungkin lebih ketara kerana berada di barisan hadapan serta mempunyai ramai peminat. Perkara paling utama ialah disiplin diri pelakon itu sendiri ketika berada di set penggambaran.
“Jangan biarkan populariti mengheret kita ke bawah kerana populariti mudah pudar, manakala bakat yang akan mengekalkan hayat kerjaya untuk jangka masa panjang,” katanya.
Dalam pada itu, Nad mengulas mengenai perkongsian videonya memaparkan Ungku di platform Threads yang tular baru-baru ini, sehingga mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang mendambakan pasangan hidup yang baik.
Tegas Nad, perkongsian itu bertujuan memberi semangat kepada mereka yang berputus asa untuk mendirikan rumah tangga, di samping mengingatkan wanita agar turut meningkatkan kualiti diri sendiri.
“Lelaki yang baik masih ada, tetapi kita juga perlu bermuhasabah diri. Kita perlu menjadi baik seiring kriteria yang kita harapkan daripada pasangan.
“Fasa bercinta dan berumah tangga amat berbeza. Waktu bercinta segalanya mungkin nampak indah, namun boleh berubah selepas berkahwin.
“Untuk mencari calon suami yang baik, carilah seseorang yang berorientasikan keluarga,” katanya.