KUALA LUMPUR: Ujian yang dilalui tidak sedikit pun menjejaskan kualiti kerja pelakon jelita, Uqasha Senrose.

Sebaliknya, ibu kepada seorang cahaya mata itu bersyukur apabila rezeki lakonan yang diterima tidak pernah putus.

Mengulas mengenai kelangsungan kariernya, Uqasha berkata, dia tidak mempunyai sebarang formula khusus untuk kekal relevan selepas lebih sedekad bergiat dalam dunia seni.

“Saya sendiri tak tahu apa rahsianya. Hanya pihak produksi sahaja yang tahu kenapa masih memberi kepercayaan. Mungkin sebab hubungan baik yang sentiasa dijaga dengan semua kru dan penerbit membuatkan mereka selesa bekerja dengan saya.

“Setakat ini, ujian yang datang tak mengganggu kerja, alhamdulillah,” katanya ditemui pada sesi fotografi drama terbaharunya berjudul, Bisik Asmara di Balai Berita, Bangsar, di sini, semalam.

Enggan mengulas soal peribadi, pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen ini berkata, dia lebih selesa memberi tumpuan terhadap kerjaya bagi menjaga kestabilan emosi.

Berkongsi mengenai drama terbaharunya yang bakal mengisi slot Samarinda TV3, Uqasha mengakui teruja memandangkan sudah agak lama wajahnya tidak muncul dalam slot tayangan perdana stesen berkenaan.

“Kali terakhir saya berlakon untuk TV3 adalah dalam Tundukkan Playboy Itu, kira-kira sembilan tahun lalu. Saya pun tak pasti kenapa lama tak muncul, mungkin sebab bertembung dengan tawaran lain,” katanya.

Tambah Uqasha, dia masih belum sempat meneliti sepenuhnya skrip Bisik Asmara kerana kini sedang menjalani penggambaran drama Jika Cinta Itu Buta.

“Saya akan mula masuk ke set Bisik Asmara pada 8 November ini,” jelasnya.

Kakak kepada pelakon Datin Nelydia Senrose itu berkata, dia tidak cerewet dalam pemilihan naskhah asalkan jalan cerita memberi impak dan episodnya tidak terlalu panjang.

“Kalau siri terlalu panjang, saya keberatan untuk terima sebab bimbang tak mampu beri komitmen penuh. Saya juga perlukan masa untuk diri sendiri.

“Saya tak kisah ambil tawaran ‘back-to-back’ asalkan bukan siri panjang. Biasanya lepas satu projek, saya terus masuk set baharu. Cuma saya tak pernah terima dua tawaran serentak sebab tak mahu mutu lakonan terjejas, terutama bila bawa watak utama,” katanya.

Dalam kesibukan bekerja, Uqasha tetap berusaha memperuntukkan masa berkualiti bersama puteri tunggalnya, Hawra Uqaira, yang kini berusia 18 bulan.

“Walau sesibuk mana pun, saya akan pastikan dapat luangkan masa dengan Uqaira setiap hari. Kadang-kadang saya bawa dia ke set kalau lokasi sesuai.

“Biasanya pembantu rumah dan pembantu peribadi akan tengok-tengokkan dia sementara saya berlakon. Setakat ini, Uqaira tak pernah meragam di set.

“Kalau nampak saya di depan kamera pun, pembantu akan bawa dia jauh sedikit supaya tidak ganggu penggambaran,” katanya.

Tambah Uqasha, jika lokasi penggambaran tidak sesuai, Uqaira akan dijaga oleh pembantu rumah di bawah pengawasan ibunya.

“Setakat ini, belum pernah lagi saya tak sempat luangkan masa untuk dia. Walau balik lewat malam, saya tetap akan peluk dan habiskan masa bersama sebelum tidur,” ujarnya.

Bisik Asmara turut dibintangi Sophia Albarakbah dan dijadualkan menemui penonton pada 7 Januari depan di TV3.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *