Shah Alam: Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan tarikh 3 Disember 2025 untuk pihak peguam mewakili pelakon dan pengacara, Raja Azura, menghantar laporan mengenai penyampaian ganti yang dihantar kepada pihak bekas suaminya, Adzmin Osman.
Peguam yang mewakilinya, Mohammad Amirul Hanizan berkata, tarikh itu diberikan mahkamah selepas proses pertama iaitu serahan notis kepada Adzmin gagal.
“Hari ini sebutan pertama dan kami sudah laporkan kepada mahkamah bahawa serahan notis sebelum ini tidak berjaya kerana responden (Adzmin) tidak ditemui.
“Tapi, kami dah mohon untuk penyampaian ganti atau alternatif secara iklan, tampalan atau WhatsApp dan Telegram.
“Akan ada lagi pada 3 Disember 2025 untuk kami buat laporan sama ada penyampaian ganti ini berjaya atau tidak. Saya akan mulakan permohonan hari ini,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai usaha mencari Adzmin yang tidak dapat dikesan keberadaannya, Amirul berkata pihaknya cuba mencari keluarga Adzmin bagi mendapatkan maklumat.
“Ada usaha yang dilakukan, kami mencari dan berhubung dengan ahli keluarga di Kedah dan Hulu Klang.
“Itu sudah dimaklumkan kepada mahkamah dan mereka berpuas hati. Anak guam saya juga sudah berikan keterangan dan mahkamah berpuas hati dengan keterangannya.
“Sekiranya masih lagi gagal berikan kerjasama, terpulang kepada mahkamah sama ada boleh beri kebenaran terus untuk buat sama kepada pihak responden atau bagaimana,” katanya.
Terdahulu, pada 10 September lalu, Raja Azura hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam untuk memfailkan permohonan kebenaran perlaksaan penghakiman berkaitan nafkah.
Raja Azura, 52, berkata, tindakan itu dibuat atas persetujuan bersama tiga anaknya, Megat Muhammad Raziq Adzmin, Megat Luqman Hakim Adzmin dan Puteri Mia Maizura Adzmin.
Raja Azura dan bekas suami, Adzmin Osman berumah tangga pada Mac 2001 sebelum disahkan bercerai pada 2010.