Kuala Lumpur: Penghibur tersohor juga Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 46, menyifatkan keputusan pemenang Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) baru-baru ini adalah layak dan usah dijadikan isu.
Siti berkata, setiap penyanyi yang dicalonkan bertanding itu sudah pasti ada keunikan dan kelas tersendiri serta baginya tidak perlu untuk terus memperdebatkan keputusan kemenangan yang sudah dibuat.
“Semua pemenang di AIM24 itu, bagi saya mereka layak untuk menang. Jadi, kita janganlah jadikan ia sebagai satu isu untuk mempertikaikan kejayaan mana-mana pihak.
“Bagi saya, setiap orang (penyanyi) ada suara yang tersendiri, unik dan paling penting rezeki mereka yang menang itu sudah ditentukan ketika pihak juri membuat pilihan pemenang.
“Juri yang mengadili itu sudah sepakat memilih. Jadi, kriterianya bergantung kepada apa yang mereka (juri) cari. Cuma bagi saya, sudah dicalonkan hingga ke peringkat ‘finale’ itu pun sudah berjaya sebenarnya.
“Sama ada berjaya dapat trofi anugerah atau tidak sahaja yang menjadi bezanya. Pada saya mudah sahaja, ada peluang dan rezeki mesti menang,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui semalam.
Terdahulu, Siti hadir menjayakan acara amal pertandingan Stars On Court Celebrity Pickleball Fun Match anjuran Yayasan Nurjiwa di Grand Pickleball Arena di Subang Jaya membabitkan ramai selebriti tanah air.
Menurut Siti lagi, walaupun beliau sudah memenangi ratusan anugerah sepanjang kerjaya seninya sejak 30 tahun lalu, namun menang atau kalah itu adalah ketentuan rezeki yang tidak pernah berubah.
“Semua ini adalah rezeki. Saya rasa macam itulah sebab saya pun sudah melalui penganjuran AIM berpuluh tahun dan saya sangat faham. Jadi, tak perlu timbulkan isu kerana mereka yang menang itu layak.
“Okaylah, tak perlu kita nak bising-bising pun. Sudahlah itu dan teruskan sahaja berkarya untuk terus menyemarakkan industri hiburan tanah air ini agar berkembang maju,” katanya.
Pada AIM24 itu, Siti dinobatkan menerima Anugerah Sri Wirama berikutan sumbangan besarnya dalam industri selama tiga dekad sejak 1995 dan hingga kini namanya masih diminati ramai.
Bagaimanapun, isu mengenai pemenang AIM24 timbul selepas penyanyi Atilia Haron menarik perhatian ramai dengan hantaran dibuatnya di media sosial yang mempersoalkan ‘standard’ penilaian dalam acara anugerah.