Kuala Lumpur: Pasangan suami isteri popular, Fattah Amin dan Amira Othman enggan melepaskan peluang merakamkan lagu duet bersama untuk mengabadikan ikatan percintaan mereka.

Ujar Amira, dia dan Fattah, 35, memang bercadang mahu merakamkan lagu duet istimewa mereka bersama, tetapi harus dirancang dengan teliti terlebih dulu.

“Perancangan lagu duet bersama, ada jugalah. Tapi tak tahulah sempat ke, tak sempat (nak buat),” katanya ringkas kepada Harian Metro.

Menurut Fattah pula, perkembangan untuk menghasilkan lagu duet berkenaan kini dalam proses pemilihan terakhir sebelum dimuktamadkan.

“Kita tengah ‘finalise’ lagu duet itu. Kiranya proses untuk menyiapkanlah. Tak adalah nak cakap dah ‘ready’ (bersedia), tapi InsyaAllah.

“Perancangan itu memang ada (rakam lagu duet istimewa bersama). Tapi, sekarang tak sempat nak disiapkan lagi,” katanya.

Sebelum ini, Fattah pernah muncul dalam muzik video lagu Bila Nak Kahwin? nyanyian Amira pada Januari lalu yang penggambarannya membawa mereka ke luar negara.

Sejak kerjasama dalam muzik video lagu itu, ia turut bawa rezeki kepada mereka dipilih menjadi duta bersama untuk beberapa produk, termasuk muncul menjual produk secara siaran langsung di TikTok.

Hampir 10 bulan berkenalan dan rapat, malam semalam Amira, 32, sah bergelar isteri Fattah dalam majlis pernikahan mereka yang berlangsung pada tarikh istimewa, 14 September yang juga hari ulang tahun Fattah ke-35.

Hanya sekali lafaz, pasangan selebriti popular ini sah bergelar suami isteri pada jam 9.08 malam selepas mereka dinikahkan oleh jurunikah, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pada majlis pernikahan itu, Amira yang tampil menggayakan busana baju kurung moden berwarna putih rekaan Teh Firdaus menerima seutas gelang emas sebagai mas kahwin.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *