KUALA LUMPUR: Inisiatif Media Prima Audio (MPA) memperkenalkan penyampai radio dalam versi janaan kecerdasan buatan atau AI dikenali DJ Aina Sabrina membuahkan hasil apabila memberi impak terhadap industri penyiaran radio di serata dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MPA, Nazri Noran, berkata maklum balas itu diterima ketika menyertai persidangan radio di Eropah apabila kebanyakan pengendali medium penyiaran itu tertarik dengan penggunaan penyampai AI oleh Fly FM.
“Impak penggunaan penyampai versi AI sampai seluruh dunia sebenarnya. Saya terkejut sebab tahun lalu, saya banyak melawat Eropah seperti United Kingdom (UK) termasuk menghadiri acara industri radio, saya dapati, mereka terkejut dengan Malaysia.
“Mereka sifatkan Malaysia agak maju dalam penggunaan AI. Kita antara yang pertama di Asia yang menggunakan penyampai AI, malah, mendapat pengiktirafan daripada sudut itu.DISYORKAN
“Ketika saya berada di Eropah untuk menyertai persidangan radio di sana, mereka mencari saya. Ada antara mereka cakap Fly FM berani buat penyampai AI.

“Mereka sendiri takut sebab dengan teknologi itu, macam-macam boleh berlaku,” katanya ditemui pada majlis pelancaran studio MPA dan sesi menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Metaspace dan EV SUN di Balai Berita, Bangsar di sini, kelmarin.
Yang turut hadir, Pengasas dan CEO EV SUN, Nelson Lim; Ketua Pegawai Operasi Metaspace, Sharon Lim; Ketua Pegawai Strategi Metaspace, Leo Li Yu dan CEO EN Distribution Sdn Bhd, Adrian Peh.
Biarpun diajukan persoalan mengenai risiko penggunaan deejay AI oleh pengendali radio luar negara, Nazri berkata, perkara itu tidak menjadi masalah jika dikawal selia dengan baik.
“Walaupun berisiko kami boleh kawal apa yang AI boleh lakukan. Ada yang kawal dan pantau perkara dilakukan deejay AI.
“Apabila cipta visual untuk AI, kita cuba bayangkan rupanya. Kadang-kadang orang cakap penyampai ini dengar pada suara sahaja, tetapi, kita buat perkara lain seperti visual sekali.
“Pada awal hanya gambar (visual) sahaja, tapi sekarang deejay AI boleh bergerak,” katanya.
Nazri berkata, MPA sedang mengembangkan potensi penyampai AI menggunakan teknologi hologram.
“Kita hendak cuba sesuatu kalau boleh dengan menggunakan hologram. Teknologi sebegini sudah ada sebenarnya, tetapi adakah boleh untuk kita buat begitu?
“Jadi, DJ Aina ini adalah batu loncatan buat kami untuk bergerak ke arah itu. Kita ada banyak lagi ‘tenaga’ AI di belakang tabir yang sudah dilaksana, cuma belum dihebahkan lagi.
“Banyak lagi kita akan buat selepas ini antaranya untuk produk podcast. Di belakang tabir juga ada teknologi AI digunakan. Tahun ini, kita akan cuba gunakan dengan lebih meluas.
“Saya fikir ini adalah batu loncatan bukan sahaja untuk MPA, tetapi kepada industri penyiaran di Malaysia,” katanya.
Nazri bagaimanapun menegaskan, MPA hanya menggunakan teknologi AI dalam aspek tertentu dan tidak akan mengehadkan tenaga kerja manusia.
“Ini akan menambahkan kecekapan. Kita tidak akan tukarkan semua kepada AI, maksudnya perkara tertentu membabitkan pekerjaan harian kita akan gunakan AI.
“Tetapi orang di belakang tabir perlu kreatif dalam mengendalikannya. Kita akan tambah skil kepada aspek lain untuk lebih kembangkan industri radio,” katanya.
Nazri berkata, antara inisiatif diambil adalah mengoptimumkan penggunaan AI dalam dunia penyiaran radio dengan menjalin kerjasama antara penyedia kandungan berasaskan AI, Metaspace termasuk EV SUN selaku syarikat pengeluar pencahayaan pintar yang digunakan dalam studio MPA.
Studio baharu MPA yang menaungi lima stesen radio iaitu Hot FM, Fly FM, Kool 101,
Molek FM, dan Eight FM di Balai Berita, dipacu dengan teknologi terkini merangkumi pelbagai aspek.