Kuala Lumpur: “Mahkamah Syariah pun, saya tak tahu kat mana,”.
Demikian kata pelakon, Kamal Adli saat ditanya mengenai dakwaan ada pihak melihat kehadirannya dan isteri yang juga pelakon, Uqasha Senrose ke satu mahkamah syariah kerana berlaku pergolakan dalam rumah tangga.
Kamal ketika ditemui di Pelancaran Program Ramadan Unifi TV berkata, perkara itu mustahil dan dia sebagai lelaki, akan ke hadapan sekiranya sesuatu berlaku kepada rumah tangganya.
“Doakan yang terbaik. Mustahil untuk saya sampai ke tahap itu. Kalau ada apa berlaku pun, sebelum berlaku, saya sebagai lelaki akan ke depan.
“Saya biarkan perempuan saya buat benda itu semua. Insya-Allah, saya sayang anak, isteri dan keluarga saya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Kamal, dakwaan mengenai pergolakan dalam rumah tangganya muncul kerana beberapa sebab antaranya, ‘virus’ perceraian dalam kalangan selebriti dan kurang memuat naik gambar bersama.
“Itu kami terjebak dengan ‘virus’ yang keluar sebelum ini, yang mana banyak kawan-kawan yang ada masalah (rumah tangga) itu dan orang cakap, ‘oh, mereka pun begini juga’.
“Jadi, benda itu jadi macam merebak pula sampai ada yang pertikai kenapa kami dah lama tak bergambar bersama dan ada masalah.
“Bila saya keluarkan kenyataan dan jawab elok-elok bahawa dalam rumah tangga ada ketikanya bergaduh dan ada ketikanya okay, orang ambil kenyataan itu pula,” katanya.
Tambah Kamal, dia juga ingin menggantikan semula waktu-waktu yang dia terlepas bersama Uqasha dan anak mereka, Hawra Uqaira, 10 bulan, kerana kesibukan kerja.
“Kami okay. Kurang sangat kami muncul di media sosial sebab saya memang sibuk dengan penggambaran dan tak ada masa.
“Sekarang baru saya ada masa. Fokus saya memang kepada Hawra. Sebelum enam bulan ini pun, bahkan semasa Uqasha mengandung pun saya banyak ‘outstation’, penggambaran Takluk di Sabah dan Munajat Kasih di Kelantan.
“Jadi, saya banyak meninggalkan Uqasha dengan Hawra. Jadi, saya nak gantikan semula,” katanya.
Kamal mendirikan rumah tangga dengan Uqasha pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang.